Pencemaran bahan kimia: Hentikan segera operasi kilang!

Hasimi Muhamad
Mac 14, 2019 15:34 MYT
Penduduk setempat perlu diberikan infografik yang lebih jelas mengenai bencana Kim Kim agar mereka dapat mengikuti garis panduan yang betul sepanjang berdepan krisis tersebut - Gambar fail
Pihak berkuasa yang terlibat perlu lebih tegas dan komited dalam menangani krisis pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor termasuk mengeluarkan arahan supaya kilang-kilang di kawasan sekitar menghentikan operasi mereka buat sementara waktu.
Pengarah Kampus Lestari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Id Mohd Fadhil Mohd Zain berkata, penutupan kilang-kilang tersebut penting bagi memastikan penduduk setempat dan orang awam tidak berasa bimbang dengan ancaman sisa toksik tercemar.
“Ia (bencana Kim Kim) tidak mengenal mangsa jadi pada masa sekarang pihak berkuasa perlu membuat pemantauan terutamanya kepada kilang-kilang yang beroperasi.
“Kalau boleh nasihatkan penutupan kilang-kilang di kawasan tersebut sehingga keadaan benar-benar stabil,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.
Menurut beliau, penduduk setempat perlu diberikan infografik yang lebih jelas mengenai bencana Kim Kim agar mereka dapat mengikuti garis panduan yang betul sepanjang berdepan krisis tersebut.
Beliau berkata langkah menenangkan orang awam perlu dilakukan segera termasuk mengeluarkan arahan atau amaran mengurangkan aktiviti riadah di sekitar kawasan kejadian.
“Mohon kepada penduduk terutamanya yang tinggal di taman-taman berdekatan supaya diberikan panduan, talian khas atau notifikasi yang benar-benar sampai kepada mereka.
“Selain itu, perlu ada saluran rasmi bagi memastikan penduduk boleh bertindak dengan lebih cepat,” ujarnya.
Ditanya mengenai standard operasi prosedur (SOP) untuk melupuskan sisa toksik, Dr Mohd Id berkata: “Sudah ada peraturan jelas yang menuntut supaya pengusaha kilang mematuhi perkara tersebut.
“Sisa toksik tersebut bukan hanya boleh dibuang begitu sahaja tetapi perlu dihantar ke kawasan yang telah diberikan lesen khas untuk menguruskan sisa terlupus ini.”
#BencanaKimKim #infografik #Johor #Kim Kim #Malaysia #mangsa #metana #methana #Pasir Gudang #pencemaran bahan kimia #pencemaran udara #SOP #Sungai Kim Kim
;