Pencemaran air Sungai Semenyih: Sudah tiba masa operasi kilang tepi sungai dipantau - Penduduk
Fareez Azman
Oktober 5, 2020 16:21 MYT
Oktober 5, 2020 16:21 MYT
SUBANG JAYA: Isu catuan air di negeri Selangor bukan sesuatu yang baharu bagi penduduk di beberapa daerah terutamanya di Subang Jaya.
Ketika isu pencemaran air di Loji Pembersihan Air (LPA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi sedang disiasat puncanya, sudah tentu mangsanya adalah rakyat apabila catuan air terpaksa dijalankan di beberapa daerah di negeri Selangor.
Pemantauan Astro AWANI di USJ 4 mendapati, puluhan penduduk sudah mula beratur seawal jam 7.30 pagi untuk mendapatkan bekalan air bersih.
Menurut seorang penduduk, Suriyati Mustafa, 50, dia tidak menyangka keadaan sama dialami pada bulan Ogos lalu berulang.
"Bila kita cakap nanti, dia (pihak berkuasa) kata kita tidak faham masalah dia. Tapi mungkin mereka boleh pantau sungai itu bukan sekali dua, hari itu bulan Ogos dah jadi, dah ini bulan Oktober lagi sekali, selalu sangat kita kena.
"Kalau kita nak beli tong simpanan air yang besar, nanti bila waktu ada air nanti berisiko tempat pembiakan nyamuk Aedes," katanya ketika ditemui di USJ 4 pada Isnin.
Ujarnya, sejak jam 5.30 pagi dia berulang alik untuk mendapatkan bekalan air di beberapa kawasan semata mata untuk memastikan rutin harian tidak terjejas.
Sementara itu, bagi Lee Yew Loo, 63, penduduk USJ 2, isu pencemaran yang melibatkan pembuangan sisa buangan di sungai perlu dihentikan segera. Malah prosedur baharu perlu diperkenal pihak berkuasa.
"Sebenarnya, semua kilang berhampiran sungai mesti diberhentikan segera, sebab bila mereka beroperasi tepi sungai mesti ada yang buang bahan buangan ke dalam sungai.
"Kita mesti hentikan operasi ini, sekurang-kurangnya dua hingga tiga kilometer dari sungai berhampiran, jika mereka buang sesuatu lebih senang dikesan," katanya.
Bagi Zaleha Adnan, 60, pula mahu tindakan tegas diambil terhadap pihak yang menjadi punca pencemaran di Loji Pembersihan Air Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi.
"Sepatutnya orang melakukan pencemaran diambil tindakan, jadi bila macam ini pihak bertanggungjawab patut ambil langkah tegas. Menyusahkan ramai orang terutama bila musim COVID-19, lagi risau bila negeri Selangor dah masuk dalam carta, itu paling takut sekali," katanya.
Tinjauan Astro AWANI di USJ mendapati tiga hingga empat kawasan bekalan air dibuka kepada penduduk dengan menggunakan 12 lori tangki Air Selangor beroperasi 24 jam.
#Astro Awani
#aedes
#Semenyih
#Subang Jaya
#rakyat
#air
#catuan air
#Lembaga Urus Air Selangor
#operasi
#pencemaran