Pencemaran: 40 tong berisi 4,000 liter bahan buangan ditemukan dalam premis

Ridauddin Daud
November 11, 2020 13:01 MYT
Polis percaya premis tersebut baru sahaja beroperasi selama dua minggu dan dijadikan stor untuk menyimpan bahan buangan. - Astro AWANI
RAWANG: Polis menemui 40 tong berisi 4,000 liter bahan buangan berjadual di dalam sebuah premis disyaki menjadi punca pencemaran di Loji Rawatan Kumbahan (LRK) Indah Water Konsortium di Jalan Velox, Rawang.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, premis tersebut terletak di Jalan Velox 2, kira-kira 300 meter dari loji tersebut dan bahan buangan yang dijumpai itu masih belum dilupuskan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati premis tersebut baru sahaja beroperasi selama dua minggu dan dipercayai merupakan stor bagi menyimpan bahan buangan.
“Kami dapati hasil bau solven (bahan pelarut) yang ditemui di IWK dijejak dan sampai ke premis ini.
“Ada satu premis yang disewakan sebagai stor untuk simpan bahan-bahan dipercayai untuk dilupuskan.
“Cara mereka lupuskan, ini hasil siasatan awal, mereka buang dalam satu lubang kumbahan. Ini yang mengalir ke loji IWK, melimpah lalu menyebabkan Sungai Selangor tercemar,” katanya.
BACA: Pencemaran: Premis haram buang sisa berjadual dalam lubang tandas - Tuan Ibrahim
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan ke lokasi berkenaan bersama beberapa pegawai dari agensi berkaitan di sini pada Rabu.
Berdasarkan siasatan awal dan juga dapatan yang diperoleh di lokasi kejadian, beliau tidak menolak kemungkinan wujudnya unsur sabotaj dalam kes tersebut.
“Setakat ini empat suspek telah ditahan dan pihak kami sedang menyiasat kemungkinan sekiranya ada lagi suspek lain dalam kes tersebut,” ujarnya.
Sebelum itu, menerusi satu kenyataan pada Rabu, polis menahan empat individu dipercayai ada kaitan dengan kes pencemaran air di Taman Velox, Rawang.
#siasatan #polis #loji #LRA #loji rawatan air #IWK #air kumbahan #Jalan Velox #Taman Velox #stor #simpanan #bahan buangan #sabotaj #pencemaran #pencemaran bau #gangguan bekalan air
;