Pencarum LTAT dibenarkan lakukan pengeluaran khas untuk ringankan beban - Hishammuddin
Astro Awani
Ogos 17, 2022 19:49 MYT
Ogos 17, 2022 19:49 MYT
KUALA LUMPUR: Pencarum Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) boleh membuat Pengeluaran Khas Jubli Emas dengan jumlah maksimum RM500 bagi meringankan beban, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein
Hishammuddin berkata pengeluaran khas itu sebagai manfaat tambahan dan insentif bagi membantu menangani beban kewangan pencarum.
Ujar Ahli Parlimen Sembrong itu, jumlah maksimum pengeluaran ditawarkan adalah RM500 secara 'one off'.
"Ini bukan pengumuman untuk pilihan raya ya. Ini 50 tahun LTAT. Permohonan pengeluaran boleh dibuat melalui aplikasi MyWira mulai 10 Oktober ini dan akan ditutup pada 19 Disember.
"Pembayaran pertama pula akan dilaksanakan bermula 19 Disember hingga 23 Disember," katanya ketika melancarkan sambutan Jubli Emas yang ke-50 tahun LTAT dengan tema "Transformasi Nadi LTAT" di Auditorium Wisma Pertahanan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri lkmal Hisham Abdul Aziz; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abdul Aziz; Pengerusi LTAT, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman.
Sambutan Jubli Emas ini memberi peluang kepada LTAT mengukuhkan hubungan dengan pihak berkepentingan utamanya iaitu anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang memberi keyakinan dan kepercayaan mereka kepada LTAT.
#Hishammuddin Hussein
#Menteri Kanan Pertahanan
#Lembaga Tabung Angkatan Tentera
#LTAT
#one-off
#pencarum