Pencarum KWSP fahaman prosedur penamaan

Bernama
Disember 27, 2017 09:00 MYT
Para pencarum perlu tahu prosedur penamaan. - Gambar fail
Caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) amat penting bagi Borhaniza Ali Basah, 29, yang telah melangsungkan perkahwinannya dengan Nurzilla Mohamad, 29, pada 26 Nov 2016.
Ini bagi memastikan mereka mempunyai tabungan yang cukup untuk menyara masa tua mereka nanti, selain dikeluarkan bagi pembayaran deposit rumah idaman mereka.
Borhaniza akui manusia hanya mampu merancang dan Tuhan menentukan segalanya. Hidup dan mati adalah di tanganNya.
Oleh yang demikian, beliau perlu membuat penamaan atau pengisytiharan secara bertulis bagi melantik atau menamakan seseorang atau mana-mana orang sebenar sebagai Wasi ataupun pentadbir (bagi orang yang beragama Islam) yang bertindak untuk mengagihkan simpanannya kepada waris berhak sekiranya beliau meninggal dunia.
Mengakui beliau belum bersempatan untuk membuat penamaan itu, Borhaniza maklum dan faham dengan prosedur yang telah ditetapkan.
"Penamaan tidaklah susah. Buat masa ini kami belum mempunyai anak untuk dijadikan penama. Mengikut perancangan, saya ingin menjadikan waris terdekat saya seperti ayah dan ibu atau adik-adik yang telah berusia lebih 18 tahun sebagai Wasi," katanya kepada Bernama.
Beliau yakin waris-waris terdekatnya itu akan menjalankan amanah yang diberikan sebagaimana ditekankan di dalam Polisi Penamaan Baru berkuat kuasa mulai 1 Jan 2017, yang menyatakan peranan dan tanggungjawab penama sebagai pentadbir/wasi kepada simpanannya serta bukannya sebagai pemilik mutlak simpanan itu.
Katanya, penamaan wasi itu adalah bagi pencarum yang beragama Islam mengikut ketetapan Hukum Syarak.
"Sekiranya mereka sudah tiada, saya perlu membatalkan penamaan mereka dengan mengemukakan Borang Pembatalan Penamaan (KWSP 4A) dan membuat penamaan yang baharu," katanya.
Florence Genta, 30, yang masih bujang telah menjadikan adiknya sebagai penama simpanan KWSPnya pada tahun lalu.
Beliau berkata adiknya itu akan menjadi pemilik mutlak atau benefisiari (untuk pencarum bukan Islam) kepada simpanannya kerana beliau belum berkahwin dan tidak mempunyai waris yang lain.
"Setelah berkahwin nanti pun adik saya akan saya kekalkan sebagai penama, namun sekiranya saya mempunyai anak, maka saya akan membuat penamaan yang baharu," katanya yang turut faham prosedur yang perlu dilakukan untuk tujuan itu.
Katanya, membuat penamaan itu tidaklah susah namun sekiranya terdapat perkara yang tidak difahami, pihak KWSP cawangan Sibu sedia untuk menghulurkan bantuan mereka.
--- BERNAMA
#benefisiari #Borang Pembatalan Penamaan #KWSP #pemilik mutlak #penama #pencarum #Polis Penamaan Baru #waris
;