Pencarian remaja dikhuatiri lemas di Teluk Senangin diteruskan
Aida Aziz
September 25, 2023 09:50 MYT
September 25, 2023 09:50 MYT
LUMUT: Remaja lelaki yang dikhuatiri lemas di Pantai Teluk Senangin pagi semalam dikatakan ditarik ombak ketika mandi laut bersama-sama enam orang sepupunya.
Mangsa dikenali sebagai Muhammad Fahmi Hafizi Mohd Fadzli, 19, dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti riadah di kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Mohamed Nordin Abdullah berkata, sehingga kini operasi pencarian giat dilakukan untuk mengesan mangsa di sekitar kawasan itu.
"Pada 24 September (Ahad) jam 9.58 pagi, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung menerima panggilan telefon daripada orang awam memaklumkan kejadian lemas di Pantai Teluk Senangin.
"Ia membabitkan seorang lelaki berusia 19 tahun, susulan kejadian itu pihak polis bersama agensi lain seperti bomba, Maritim, Polis Marin dan Angkatan Pertahanan Awam telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
"Hasil siasatan awal polis mendapati mangsa yang sedang mandi di pantai bersama enam orang sepupunya telah ditarik ombak dan gagal diselamatkan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sehubungan itu katanya, pihak polis menasihatkan orang ramai yang mengunjungi kawasan rekreasi khususnya membabitkan kawasan pantai supaya memastikan keselamatan diri dan keluarga.
Selain itu, pengunjung yang terbabit juga dinasihatkan memakai jaket keselamatan ketika melakukan aktiviti air bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Semalam, media melaporkan seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas apabila hilang dihanyutkan ketika mandi di Pantai Teluk Senangin di sini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, anggota bomba bertindak membuat pencarian awal di sekitar kawasan pesisiran pantai serta dibantu tiga buah bot nelayan.
"Pencarian diteruskan menggunakan empat buah bot dengan tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis serta enam orang nelayan Teluk Senangin.
Operasi ditangguh pada jam 6.30 petang pada Ahad dan disambung jam 8.30 pagi hari ini," katanya.