Pencarian pendaki hilang di Gunung Damavand belum temui petunjuk - Ketua ekspedisi

Bernama
November 26, 2016 23:57 MYT
30 lagi penyelamat akan dihantar ke gunung itu esok menggunakan helikopter bagi meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sekiranya cuaca mengizinkan.
Pencarian dua pendaki yang hilang ketika mendaki gunung Damavand, Iran masih belum menemui sebarang petunjuk.
Ketua Ekspedisi, Rozaimi Md Said berkata 30 lagi penyelamat akan dihantar ke gunung itu esok menggunakan helikopter bagi meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sekiranya cuaca mengizinkan.
"Jika angin kuat, mereka akan menggunakan jalan darat," katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.
Katanya pasukan itu akan dipecahkan kepada empat kumpulan yang akan melakukan pencarian meliputi kawasan selatan, barat dan timur manakala fokus utama operasi di kawasan timur laut gunung itu.
Beliau berkata fokus SAR meliputi kawasan yang berada pada ketinggian lebih 4,200 meter.
Katanya sekiranya cuaca baik esok, sebuah helikopter juga akan dihantar bagi mencari mangsa.
Rozaimi memaklumkan ketika ini terdapat enam penyelamat berada di gunung itu bagi menjalankan operasi pencarian.
"Mereka (anggota penyelamat) dipecahkan kepada dua kumpulan dan ditempatkan di bahagian selatan dan timur gunung Damavand," katanya.
Katanya operasi SAR akan diteruskan sehingga Isnin, bergantung kepada keadaan cuaca.
Dua pendaki itu, Syed Redzuan Syed Salim Shatri, 50 dan Ramli Abd Majid, 44, dilaporkan hilang di gunung itu sejak Ahad lepas selepas terpisah daripada anggota kumpulan pendaki yang lain yang bertekad untuk menawan puncak gunung setinggi 5,610 meter itu.
-- BERNAMA
#dua pendaki #Gunung Damavand #Iran #Rozaimi Md Said
;