Pencarian pelajar warga asing di Bukit Broga diteruskan
Astro Awani
Mac 30, 2017 19:48 MYT
Mac 30, 2017 19:48 MYT
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua pelajar warga Kenya dan Britain yang sesat di Bukit Broga, diteruskan pada Khamis.
Pencarian itu membabitkan kawasan seluas 5 kilometer (km) dari kaki Bukit Tok Wan.
Pencarian dilakukan 48 anggota daripada Jabatan Bomba Dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Ukur.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul memaklumkan, pencarian tertumpu di puncak Bukit Tok Wan dan Puncak 18 di Gunung Tok Wan lebih kurang 5 km dari kaki Bukit Broga.
Warga Kenya, Nyamu Wanyolke, 20, dan warga Britain, Katie Clubb, 19, dilaporkan hilang ketika mendaki belakang Puncak 3 Bukit Broga, Semenyih kira-kira 7.50 petang Rabu.
Mereka dipercayai mendaki di bukit berkenaan untuk melakukan aktiviti riadah pada hari kejadian.