Pencarian nelayan asing jatuh laut ditangguh hingga ada petunjuk baharu
Adie Sufian Zulkefli
Ogos 28, 2020 10:24 MYT
Ogos 28, 2020 10:24 MYT
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) nelayan warga Thailand yang hilang di laut ketika menangkap ikan pada jarak 19.3 batu nautika barat daya Pulau Songsong, Yan, ditamatkan hari ini.
Menurut Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad, operasi tersebut ditamatkan setelah tiga hari dilaksanakan di kawasan seluas 191 batu nautika persegi.
Beliau berkata, aset yang terlibat sepanjang operasi SAR ini membabitkan sebuah kapal dan sebuah bot milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), sebuah bot dari Pasukan Polis Marin (PPM) serta dua buah bot dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Operasi ini turut dibantu 15 bot nelayan tempatan.
Bagaimanapun, Mahmad Faizal menjelaskan, operasi akan disambung semula jika pihak Maritim Malaysia menemui sebarang petanda baru.
Dalam kejadian 25 Ogos lalu, mangsa Supakorn Ruanggkaew, 48 tahun, dipercayai terjatuh ketika berada dalam bot pukat tunda sewaktu sedang menaikkan pukat.
Dalam masa yang sama, komuniti maritim juga turut diingatkan sentiasa berwaspada dengan cuaca dan keperluan memiliki Personal Locator Beacon (PLB) sebagai alat tambahan ketika menghadapi kecemasan di laut.
Menurut Maritim Malaysia, alat berkenaan dapat membantu menyingkatkan tempoh masa pencarian dengan menghantar isyarat kecemasan berserta lokasi.
#Angkatan Pertahanan Awam Malaysia
#bot
#Mahmad Faizal Ahmad
#Maritim Malaysia
#mencari dan menyelamat
#nelayan
#operasi
#pukat tunda
#SAR
#warga asing
#warga Thailand