Pencarian MH370 terus menjadi keutamaan bagi Malaysia

Astro Awani
Ogos 9, 2014 11:59 MYT
TIONG LAI: Kerajaan Malaysia komited untuk terus mencari pesawat MH370. - Gambar Fail
Kerajaan telah mengukuhkan pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac dengan penambahan aset di kawasan carian di selatan lautan Hindi.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata dalam satu kenyataan bahawa Malaysia dan rakan-rakan antarabangsa Australia dan China bahawa kontrak untuk menjalankan pemeriksaan ke dasar laut selatan Lautan Hindi telah diberikan kepada Fugro Survey Pty Ltd (Fugro).
Aset telah pun digerakkan dengan Fugro Discovery dari United Kingdom ke Perth.
"Fugro akan menggunakan dua kapal dilengkapi dengan kenderaan laut (towed deep-water vehicles) yang dikendalikan oleh pakar-pakar yang bertanggungjawab untuk operasi mencari.
"Kapal-kapal berkenaan akan mengimbas dasar laut menggunakan imbasan sonar, kelengkapan multi beam echo sounder dan kamera video untuk mencari dan mengenal pasti serpihan pesawat," katanya.
Tiong Lai berkata carian di dasar laut bagi kawasan 60,000 kilometer persegi dijangka mengambil masa yang lama.
Kerajaan juga telah menghantar KD Mutiara, sebuah kapal tentera laut yang akan tiba pada penghujung bulan ini.
"Dua kapal ini dilengkapi dengan Side Scan Sonar dan kenderaan kawalan jauh yang akan membantu pencarian di dasar laut yang diketuai oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Australia.
"Satu lagi kapal Tentera Laut Diraja Malaysia, Bunga Mas, yang telah berada di kawasan itu sejak April 2014, akan terus menyokong usaha-usaha pencarian," katanya.
Sementara itu, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah memberi peralatan dan kapal sebagai sokongan operasi pencarian bawah laut.
Tiong Lai akan berada di Australia dari 19 Ogos untuk menemui Timbalan Perdana Menteri Australia dan agensi dan pasukan yang mengambil bahagian dalam operasi SAR. Mesyuarat tiga pihak antara China, Australia dan Malaysia di peringkat menteri juga akan diadakan.
#Liow Tiong Lai #M370 #Malaysia Airlines