Pencarian MH370 ditamatkan di luar pantai Australia Barat Julai ini

Astro Awani
Mei 18, 2016 13:09 MYT
ATSB yang mengetuai misi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 di Lautan Hindi, mengesahkan operasi di luar pantai Australia Barat akan dihentikan Julai ini. - Gambar fail
Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) yang mengetuai misi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 di Lautan Hindi mengesahkan operasi di luar pantai Australia Barat akan dihentikan pada Julai ini.
Menurut laporan dari portal ABC, pencarian itu hanya akan diteruskan sekiranya bukti penting baharu ditemui.
Pencarian yang menjangkau satu kawasan seluas 120,000 kilometer setakat ini masih gagal menemukan pesawat berkenaan.
Walaupun beberapa serpihan kecil pesawat itu ditemukan terdampar di Afrika Selatan dan Pulau Rodrigues, Mauritius, bukti berkenaan masih tidak mencukupi untuk meyakinkan Australia untuk membelanjakan lebih daripada RM24 juta bagi operasi pencarian sehingga kini.
Ketua Eksekutif ATSB, Martin Dolan berkata, setakat ini baki pencarian masih perlu dilakukan di kawasan seluas kira-kira 15,000 kilometer persegi.
Tambahnya ATSB menimbangkan pencarian itu berdasarkan nasihat terbaik dan analisis daripada pakar-pakar bahawa kawasan itu merupakan kawasan keutamaan pencarian.
Pesawat MH370 hilang pada Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama-sama 239 penumpang dan anak kapal.
#ATSB #Lautan Hindi #Malaysian Airlines #MH370
;