Pencarian MH370 akan disambung jika ada bukti baharu - Pesuruhjaya Tinggi Australia
Bernama
Januari 19, 2017 07:17 MYT
Januari 19, 2017 07:17 MYT
Kerajaan Australia bersedia menyambung semula pencarian penerbangan Malaysia Airlines MH370 jika ada bukti baharu, kata Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Rod Smith.
Katanya kerajaan Australia bersikap terbuka dalam hal itu.
"Kami (kerajaan Australia) memang sedih tetapi tiada pilihan, melainkan jika ada bukti baharu yang dapat menunjukkan lokasi tepat (kedudukan pesawat)," katanya yang ditemui pada jamuan tengah hari yang dihoskan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, di sini pada Khamis.
Beliau diminta mengulas mengenai gesaan 'Voice370', kumpulan yang dianggotai keluarga penumpang dan kru pesawat yang hilang itu, yang mahu ketiga-tiga kerajaan terlibat mempertimbangkan semula keputusan untuk menghentikan operasi pencarian pesawat berkenaan.
Gesaan itu susulan keputusan kerajaan Malaysia, China dan Australia pada awal bulan ini untuk berhenti mencari pesawat yang hilang pada 8 Mac, 2014 tersebut.
Terdahulu, Smith menyampaikan ucapan bertajuk 'Australia and Malaysia: 60 Years of Partnership and Beyond' (Australia dan Malaysia: Perkongsian 60 tahun dan Seterusnya) di Universiti Malaysia Perlis di Pauh Putra, Arau. -- Bernama