Pencarian baharu MH370 bermula di Lautan Hindi
Astro Awani
Februari 25, 2025 16:31 MYT
Februari 25, 2025 16:31 MYT
Ocean Infinity, menggunakan kapal sokongan Armada 7806 untuk mencari pesawat MH370 di kawasan seluas 15,000 km persegi di Lautan Hindi. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Misi pencarian baharu pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang 11 tahun lalu telah dimulakan di Lautan Hindi.
Ringkasan AI
- Misi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang 11 tahun lalu telah dimulakan di Lautan Hindi oleh syarikat eksplorasi laut swasta, Ocean Infinity.
- Pencarian akan dilakukan di kawasan seluas 15,000 km persegi, kira-kira 1,500 km dari pantai Perth, dengan tumpuan kepada empat kawasan utama yang dianggap sebagai hotspot.
- Kontrak pencarian ini berdasarkan prinsip "tiada penemuan, tiada bayaran", bermakna kerajaan tidak akan membayar jika tiada apa-apa yang ditemui.
Menurut laporan media antarabangsa, syarikat eksplorasi laut swasta dari Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK), Ocean Infinity, menggunakan kapal sokongan Armada 7806 untuk mencari pesawat malang terbabit di kawasan seluas 15,000km persegi, kira-kira 1,500 km dari pantai Perth.
Misi ini akan memberi tumpuan kepada empat kawasan yang dianggap sebagai kawasan tumpuan utama di mana bangkai pesawat malang terbabit mungkin berada.
Pencarian ini bagaimanapun dijangka rumit kerana topografi dasar laut dan keadaan cuaca.
Pada 20 Disember lalu, kerajaan bersetuju secara prinsip menerima tawaran syarikat dari United Kingdom, Ocean Infinity untuk meneruskan operasi pencarian dasar laut bagi mengesan bangkai pesawat MH370.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, kontrak pencarian ini berdasarkan prinsip "tiada penemuan, tiada bayaran", bermakna kerajaan tidak akan mengeluarkan sebarang bayaran jika tiada apa-apa yang ditemui.
Pesawat Malaysia Airlines MH370 yang membawa 239 penumpang, hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada 8 Mac 2014.