Pencari kerja jangan putus asa pohon pekerjaan
Rahimah Abdullah
Februari 20, 2022 16:35 MYT
Februari 20, 2022 16:35 MYT
KUALA LUMPUR : Pencari kerja sama ada yang berpengalaman ataupun baharu dinasihatkan agar tidak berputus asa dalam memohon sesuatu pekerjaan sehingga mereka berjaya ditempatkan dalam pasaran kerja.
Pengasas Gig X Global, Shareen Shariza Abdul Ghani berkata, mereka perlu sentiasa ada motivasi diri dan melakukan persediaan yang cukup sebelum menghadiri mana-mana temu duga pekerjaan.
"Yang paling utama ialah jangan putus asa. Saya pernah temu duga calon yang masuk interview kali ke-50, 60 kali tetapi tidak dapat-dapat. But you never know kalau yang ke-61 itu mungkin menjadi pekerjaan kamu. Jadi teruskan dengan motivasi dan buat persediaan," katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.
Malah, penampilan yang sesuai dan bertutur dengan sopan perlu dititikberatkan semasa proses temu duga.
"Apabila temu duga itu, perlu cakap dengan tepat, fokus, dan jangan bercakap banyak sampai tak berhenti. Jadi masa enam bulan nak cari kerja itu, perlu juga ada pakaian dan penampilan sesuai," tambahnya.
Jelasnya, apabila seorang pencari kerja sudah mendapat tawaran temu duga, mereka juga perlu bersedia dengan maklumat mengenai syarikat yang dipohon.
Selain melihat kepada kelayakan akademik, majikan pada hari ini juga katanya cenderung melihat kepada karakter seseorang calon pekerjanya melalui penglibatan dalam aktiviti bukan akademik seperti menjadi sukarelawan.
Pada masa sama, calon perlu bijak dalam menjawab soalan majikan yang mungkin akan menguji kemahiran berfikir mereka melalui soalan-soalan berkaitan.
"Sebab di sebalik kelayakan akademik calon, majikan mahu melihat adakah calon itu mampu menjalankan tugas-tugas yang kadang-kala tanpa panduan buku atau tip tertentu.
"Majikan nak uji kamu bagaimana kamu mampu melakukannya jika kamu diberikan apa-apa projek kerana pada akhirnya kamu perlu berdikari," ujarnya lagi.
Untuk rekod, Kementerian Kewangan memperuntukkan sebanyak RM1.7 bilion bagi program jangka pendek (MySTEP) 2022 dengan sasaran penciptaan 80,000 pekerjaan pada tahun ini.