Pencapaian sosioekonomi negara dinilai melalui statistik - Sultan Nazrin
Nazialita Geynna Maharan
September 7, 2017 11:16 MYT
September 7, 2017 11:16 MYT
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah bertitah bahawa pencapaian sebenar sosioekonomi sesebuah negara dapat dinilai dan dipantau secara holistik melalui statistik.
Baginda bertitah, statistik merupakan rujukan untuk memandu kerajaan ketika proses rangkaan pelbagai rancangan pembangunan di negara ini.
Titah Baginda, statistik telah mula berperanan dalam pembangunan sosioekonomi di Tanah Melayu dan Borneo seawal tahun 1930-an dan setiap pengumpulan data rasmi perdagangan luar negeri dan pertanian dilakukan sejajar dengan aktiviti pertanian sebagai sumber utama ekonomi negara ketika itu.
"Pengetahuan dan kesedaran berkaitan ilmu statistik sangat relevan di dalam kehidupan masa kini. Justeru diingatkan, bahawa statistik terdiri daripada data-data yang dikumpul, digabung, dicantum, diolah, dianalisis dan kemudiannya ditafsiri oleh manusia.
"Pentafsiran yang tidak tepat boleh mengundang kepada berlakunya perancangan yang silap, atau perumusan keputusan yang salah, mengakibatkan berlakunya perancangan yang tidak tepat serta tindakan yang tidak bijak; dan pada akhirnya gagal memenuhi matlamat yang disasarkan," titah baginda dalam Majlis Perasmian Bangunan Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM) di Sungkai, di sini hari ini.
Sultan Nazrin bertitah, kenyataan Spiegelhalter memberikan peringatan, bahawa manusia yang berada di belakang statistik terdiri daripada pelbagai watak dan latar belakang; dan setiap seorang manusia memiliki potensi mentafsir statistik menurut sudut dan lensa masing-masing.
Dalam pada itu, Baginda juga menekankan dalam titah Baginda bahawa terdapat tiga faktor yang perlu dihormati untuk membolehkan statistik berupaya berperanan sebagai instrumen yang dapat membantu dan demi memastikan perancangan dapat dirangka secara tepat dan betul agar tidak akan mencetuskan masalah kepada para pelaksana.
"Pertama, statistik hendaklah dikumpul secara menyeluruh dan komprehensif. Kedua, statistik dibentangkan secara konsisten setelah disemak ketepatan dan kesahihan data dengan teliti dan ketiga,statistik perlu ditafsiri secara objektif dan jujur tanpa bersifat selektif dan tanpa sebarang prejudis.
Bersesuaian dengan perasmian ILSM iaitu inisiatif Jabatan Perangkaan Malaysia yang dibina pada 3 Januari 2012, Sultan Nazrin juga mengingatkan rakyat setempat bahawa statistik dapat membantu manusia dapat lebih mengenali dan memahami keadaan sebenar persekitarannya.
"Pengenalan dan pemahaman terhadap keadaan sebenar, dapat pula membantu manusia merumuskan sesuatu kesimpulan dengan pemilihan yang terbaik, ketika merangka sesuatu program dan ketika merancang sesuatu kegiatan,"titah Baginda.
Titah Baginda, ahli falsafah Jerman, Gottfried Achenwall turut mentakrifkan statistik sebagai ilmu tentang negara, kerana digunakan pada zaman tersebut dalam urusan pentadbiran, khususnya untuk mengukur kekuatan ketenteraan dan kadar cukai bagi tabungan negara
Titah Sultan Nazrin, kini Malaysia sedang berhadapan ‘Gelombang Revolusi Perindustrian Keempat’; gelombang revolusi yang menuntut agar segenap lapisan masyarakat memiliki maklumat yang relevan, tepat lagi terkini.
"Revolusi pantas teknologi maklumat dan komunikasi memberi impak besar kepada teknologi digital, dan hampir lima puluh peratus warga dunia berusia lima belas tahun ke atas, menggunakan Internet.
"Ledakan maklumat yang terhasil pada masa ini, begitu mudah diakses dalam laman web melalui pelbagai peranti elektronik. Gelombang yang dinamakan Big Data, dikenal pasti sebagai sumber yang berpotensi membantu meningkatkan keupayaan membuat keputusan berasaskan fakta.
"Keadaan ini, bukan sahaja menuntut kepada perlunya proses pengumpulan data dilakukan secara moden dan lengkap, malah turut menuntut agar penyebarannya dilakukan secara segera lagi meluas, disampaikan dengan ringkas, padat dan interaktif, agar statistik yang sahih dapat membantu ke arah merumuskan keputusan yang tepat,"titah Sultan Nazrin.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim yang berkenan tiba sekitar pukul 10.08 pagi Khamis.
Yang turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.
Hadir mengiringi baginda ialah Raja Muda Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri S.K. Devamany.