Pencapaian membanggakan, Menteri Pendidikan ucap tahniah kepada SK Permai, SK Kanchong Darat

Astro Awani
Jun 15, 2023 00:26 MYT
Fadhlina Sidek berharap kejayaan dua sekolah itu akan menjadi inspirasi kepada semua. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) mengucapkan tahniah kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Permai di Bayan Baru, Pulau Pinang, dan SK Kanchong Darat di Banting, Selangor yang tersenarai dalam kedudukan sepuluh teratas anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2023.
Menterinya, Fadhlina Sidek berharap kejayaan dua sekolah itu akan menjadi inspirasi kepada semua.
"Kejayaan sekolah-sekolah ini menunjukkan keupayaan kita berdaya cipta, mencari penyelesaian baru secara kritis dan kreatif.
"Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada dua buah sekolah Malaysia yang tersenarai dalam 10 teratas anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2023," katanya dalam catatan di Facebook beliau di sini, pada Khamis.
SK Seri Permai di Bayan Baru Penang membangunkan inovasi meja dan ruang simpanan buku yang dikenali sebagai Smart and Easy Table (SnET) 2.0 bertujuan mengatasi masalah beg berat ke sekolah.
Sementara, SK Kanchong Darat di Banting Selangor pula membawakan inovasi Program Minda Sihat, Warga Hebat bagi mengalakkan murid hadir ke sekolah, sekali gus menangani isu obesiti kanak-kanak.
Kedua-dua sekolah ini berpeluang memenangi sebahagian daripada hadiah keseluruhan AS$250,000 (RM1.16 juta), untuk dikongsi sama rata bersama lima pemenang, dengan masing-masing menerima AS$50,000 (RM231,300).
Tiga finalis teratas untuk setiap hadiah akan diumumkan pada September depan, manakala pengumuman pemenang pula pada Oktober.
Pemenang bagi setiap hadiah akan dipilih berdasarkan kriteria oleh juri yang terdiri daripada ahli akademik, pendidik, badan bukan kerajaan, usahawan sosial, kerajaan, masyarakat sivil dan sektor swasta dari seluruh dunia.

Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada dua buah sekolah Malaysia yang tersenarai dalam 10 teratas anugerah World's...

Posted by Fadhlina Sidek on
#Fadhlina Sidek #Kementerian Pendidikan #Sekolah Terbaik Dunia 2023 #SK Permai
;