Pencapaian di Hangzhou bagi bayangan emas untuk Sukan Paralimpik Paris

Bernama
Oktober 29, 2023 12:38 MYT
Kontinjen negara turut membuktikan pengembaraan mereka ke bumi Hangzhou bukan sekadar 'makan angin' apabila mencatatkan beberapa rekod baharu kejohanan antaranya membabitkan sukan olahraga dan powerlifting. - Bernama
HANGZHOU: Atlet negara di Sukan Para Asia 2022 Hangzhou sekali lagi membuktikan kehebatan mereka apabila terus mengekalkan rentak cemerlang mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
Selepas memperoleh kejayaan mengagumkan di Sukan Para Asean 2023 di Kemboja, Jun lepas, mereka tampil menyinar di bumi Hangzhou apabila mudah melepasi sasaran 35 pingat ditetapkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).
Membariskan seramai 113 atlet dengan hampir separuh daripadanya membuat penampilan sulung di pentas berprestij itu, langsung tidak menyekat usaha untuk mengaut tujuh pingat emas, 15 perak dan 17 gangsa, bagi menduduki tangga ke-12 carta pingat.
Kem berbasikal muncul sebagai penyumbang pingat terbanyak iaitu satu pingat emas, enam perak dan empat gangsa diikuti sukan olahraga dengan tiga emas, dua perak dan empat gangsa.
Sukan renang tidak kurang hebatnya apabila berjaya menyumbangkan satu emas selain empat gangsa diikuti badminton dengan dua perak dua gangsa, boling padang (dua perak, dua gangsa), boccia (satu emas, dua perak), powerlifting (satu emas, satu gangsa) dan tenis kerusi roda menyumbang satu perak.
Kontinjen negara turut membuktikan pengembaraan mereka ke bumi Hangzhou bukan sekadar 'makan angin' apabila mencatatkan beberapa rekod baharu kejohanan antaranya membabitkan sukan olahraga dan powerlifting.
Permata baharu olahraga para Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi mencuri tumpuan apabila bukan sekadar pulang bersama kilauan emas malah memperbaharui rekod Asia dan temasya.
Catatan 47.60 saat (s) dilakukan atlet kelahiran Pontian, Johor itu sekali gus memecahkan rekod Sukan Para Asia milik rakan senegara Nasharudin Mohd. (49.32s), selain rekod Asia yang dipegang atlet Iran Milad Ramazani (47.80s)
Jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin tidak ketinggalan menyandang gelaran juara bagi acara 72 kilogram (kg) dengan melakukan angkatan 230kg yang juga rekod baharu temasya, memadam rekod 229kg dilakukan atlet Iran Roohallah Rostami.
Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata 'jelmaan emas' sudah kelihatan untuk Sukan Paralimpik Paris 2024 melibatkan atlet yang telah menempah slot pada temasya tersebut, khususnya mereka yang menepati sasaran emas di Hangzhou.
Antaranya atlet lontar peluru Muhammad Ziyad Zolkefli, Datuk Abdul Latif Romly (lompat jauh) dan Muhammad Nur Syaiful Zulkafli (renang).
Dalam masa sama pencapaian di Hangzhou menunjukkan bahawa pelan jangka masa panjang MPM dalam melahirkan lebih ramai atlet berpotensi bagi diketengahkan pada Sukan Paralimpik Los Angeles 2028 dan Sukan Paralimpik Brisbane 2032, berada di landasan tepat.
"32 peratus atlet adalah muka baharu jadi saya percaya ini adalah pelapis kita di masa akan datang dan lebih banyak lagi dapat dilahirkan.
"Kita juga akan mempergiatkan lagi program mengenal pasti atlet-atlet berpotensi dan saya harap pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat membantu bagi memastikan usaha itu tidak tergendala," katanya.
Temasya APG keempat yang menutup tirai secara rasmi semalam menyaksikan tuan rumah China mempertahankan gelaran juara dengan merangkul 214 pingat emas, 167 perak dan 140 gangsa.
Iran menghuni tangga kedua dengan meraih 44 emas, 46 perak dan 41 gangsa diikuti Jepun dengan kutipan 42 emas, 49 perak dan 59 gangsa.
-- BERNAMA
#Sukan Para Asia #Sukan Paralimpik Paris #pencapaian cemerlang #atlet negara
;