Pencapaian cemerlang kerajaan tidak bermaksud terhenti di situ - Abdul Latiff

Firdaus Azil
Disember 14, 2021 11:46 MYT
Abdul Latiff Ahmad berkata, penilaian prestasi Ahli Jemaah Menteri adalah dinilai berdasarkan pencapaian terhadap sasaran-sasaran yang telah ditetapkan oleh Ahli Jemaah Menteri dan kementerian masing-masing.
KUALA LUMPUR: Pencapaian tinggi kementerian dalam tempoh 100 hari di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri sehingga mencecah 90 peratus tidak bermaksud ia ternoktah di situ, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Abdul Latiff Ahmad berkata, masih banyak lagi perkara yang dalam perancangan dan sedang dilaksanakan.
Beliau berkata, selain itu, markah tinggi keseluruhan berkenaan dicapai melalui beberapa proses justifikasi termasuk penilaian oleh jawatankuasa khas sebelum disiarkan kepada rakyat.
“Apa pun, dalam menentukan apa yang YB Rasah (Cha Kee Chin) kata markah terlalu tinggi, bukan kerana 'guru besar' (Ismail Sabri) suka-suka bagi markah. Markah ini ditetapkan kementerian dalam masa 100 hari apa yang patut dipenuhi oleh kementerian.
"Cuma saya rasa kos sara hidup itu melibatkan pelbagai menteri, rentas beberapa kementerian tak masuk dalam 100 hari itu dan perlu dinyatakan dalam Dewan ini... 100 hari itu bukan titiknya, itu koma saja.
“Ada banyak lagi perkara yang perlu dipenuhi oleh kementerian dan menteri-menteri pastikan perkara pokok dapat dilaksanakan sepanjang sewaktu YAB Bera jadi Perdana Menteri,” katanya lagi.
Abdul Latiff berkata demikian sewaktu menjawab soalan Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin, yang ingin mengetahui justifikasi pemarkahan yang tinggi untuk Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 Hari.
Kee Chin berkata, beliau hairan dengan pemarkahan tersebut sedangkan banyak isu terutama sekali kos sara hidup masih gagal diselesaikan kerajaan.
Dalam pada itu, Abdul Latiff tidak berhasrat untuk memaklumkan kementerian yang mendapat markah tertinggi dan terendah, seperti yang dipohon oleh Kee Chin.
"Rasah minta supaya dinyatakan markah tertinggi dan juga markah terendah. Ini biarlah … Datuk Yang Dipertua, guru besar simpan. Tak perlu guru kecil dapat tahu. Dia pun baru jadi 'guru besar', bagi peluang kepada dia,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Abdul Latiff berkata, penilaian prestasi Ahli Jemaah Menteri adalah dinilai berdasarkan pencapaian terhadap sasaran-sasaran yang telah ditetapkan oleh Ahli Jemaah Menteri dan kementerian masing-masing.
Dalam hal ini, katanya lagi, penilaian telah diukur berdasarkan Perkhidmatan Teras Kementerian sebanyak 50 peratus, Penilaian Prestasi Menteri yang membawa wajaran 25 peratus dan Persepsi Awam terhadap Menteri dan Kementerian yang turut membawa wajaran sebanyak 25 peratus.
“Bagi memberi ruang kepada rakyat untuk menilai, MAMPU (Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia) telah mengadakan tinjauan soal selidik mulai 1 November hingga 15 November 2021. Bagi tempoh tersebut, seramai 190,914 rakyat selaku responden telah mengambil bahagian.
“Selain itu, MAMPU juga melaksanakan analisis sentimen melibatkan kesemua 31 Ahli Jemaah Menteri mulai 1 September hingga 5 Disember 2021 dan hasil penilaian analisis sentimen juga telah diambil kira dalam membuat penilaian prestasi 100 Hari AKM,” katanya lagi.
#Dewan Rakyat #Abdul Latiff Ahmad #Aspirasi Keluarga Malaysia #KPI cemerlang
;