Pencapaian 100 Hari: KPT sudah berjaya laksana empat inisiatif

Ehsan A Marisah
November 10, 2021 11:04 MYT
Strategi menyemarakkan semangat #KPTPrihatin dilihat signifikan dengan Prinsip Keluarga Malaysia. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sudah berjaya melaksanakan empat inisiatif sejajar dengan Program Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 Hari Pertama Ahli Jemaah Menteri selepas pembentukan Kabinet, 27 Ogos lalu.
KPT dalam satu kenyataan memberitahu, melalui strategi menyemarakkan semangat #KPTPrihatin, ia dilihat signifikan dengan tiga Prinsip Keluarga Malaysia, iaitu peka dengan keperluan semasa, bertanggungjawab dan amanah serta mengembalikan semula keyakinan rakyat.
“AKM yang pertama ialah pemberian baucar makanan percuma melalui Program FOOD@CAMPUS Keluarga Malaysia kepada pelajar B40 secara bersasar. Pemberian baucar makanan ini adalah atas keprihatinan KPT terhadap beban kos sara hidup yang dihadapi pelajar dan keluarga, khususnya akibat pandemik COVID-19.
“KPT menganggarkan sebanyak 443,760 baucar makanan dapat disediakan dengan nilai sebanyak RM15.00 bagi setiap baucar. Program yang mula dilaksanakan pada 18 Oktober 2021 ini membabitkan peruntukan sebanyak RM6.6 juta,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, AKM kedua ialah pemberian vaksin kepada warga pendidikan tinggi melalui Program VACC2CAMPUS.
“Program ini bertujuan membentuk komuniti kampus selamat selaras dengan pembukaan kampus secara berperingkat mulai 15 Oktober 2021 lalu. KPT mensasarkan 100 peratus warga institut pengajan tinggi (IPT) yang terdiri daripada pelajar, staf akademik dan staf bukan akademik, berdaftar dalam MySejahtera dan boleh divaksin menerima vaksinasi lengkap.
“AKM ketiga, iaitu pembekalan saringan kit ujian pantas (RTK) kepada pelajar IPT melalui Program RTK@CAMPUS. Ini antara langkah kami dalam memastikan keselamatan warga kampus terpelihara selain mencegah penularan wabak COVID-19.
“Ia melibatkan pelajar sedia ada, pelajar baharu dan juga bagi maksud intervensi kepada pelajar luar kampus yang berulang-alik serta pelajar yang menunjukkan gejala. Sebanyak 1.16 juta unit RTK akan dibekalkan melibatkan kos peruntukan sebanyak RM17.5 juta,” katanya.
Selain itu, AKM keempat, iaitu penawaran peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan kepada pelajar IPT melalui Program GETHIRED@KPT.
Melalui AKM ini, KPT menyasarkan sekurang-kurangnya 13,000 pelajar warganegara Malaysia mendapat penempatan pekerjaan dan penjanaan pendapatan dalam tempoh tiga bulan, iaitu bermula September hingga November 2021.
“Keempat-empat aspirasi yang digariskan ini merupakan manifestasi melengkapkan AKM, iaitu buah fikiran Perdana Menteri. Ia telah disesuaikan dengan slogan #KPTPrihatin yang menjadi hikmat utama kami.
“Kami percaya bahawa sebelum melangkah ke fasa endemik, kesihatan dan kebajikan seluruh warga pendidikan tinggi di negara ini perlu diutamakan pada tahap terbaik,” jelasnya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam ucapan Pembentukan Kabinet sebelum ini mengumumkan menteri di 26 kementerian dan lima agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri perlu membuktikan pencapaian awal mereka dalam tempoh 100 hari pertama memegang portfolio.
#Kementerian Pengajian Tinggi #ismail sabri yaakob #Keluarga Malaysia #IPT