Pencalonan Mat Sabu akan buktikan kerjasama Pakatan Rakyat - Penganalisis
Irwan Muhammad Zain
Mei 6, 2014 07:22 MYT
Mei 6, 2014 07:22 MYT
Menamakan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sebagai calon mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil parlimen Bukit Gelugor merupakan satu cadangan yang baik kata penganalisis politik, Prof Madya Dr Shaharuddin Baharuddin.
Dr Shaharuddin berkata jika Pakatan Rakyat mahu mewujudkan satu gabungan yang kuat dan disegani kerana kesefahamannya, perkara tersebut sepatutnya dilakukan.
Katanya, Barisan Nasional (BN) telah membuktikan kekuatan gabungan mereka dengan memberikan kerusi kepada parti komponen di kawasan yang mana UMNO kuat.
"Cadangan supaya Mat Sabu dipilih mewakili Pakatan Rakyat di Bukit Gelugor merupakan satu cadangan yang baik dan sepatutnya telah lama dilaksanakan.
"Untuk mewujudkan satu gabungan yang kuat dan membuktikan kepada rakyat bahawa mereka (Pakatan Rakyat) serius terhadap penggabungan ini, mereka perlu korbankan kerusi kepada rakan dalam gabungan itu.
"Perlu ada persefahaman, tidak boleh untungkan satu pihak sahaja, kalau DAP korbankan kerusi mereka, PAS juga perlu bersedia korbankan kerusi mereka di Kelantan contohnya kepada DAP dalam PRU14.
"Yang penting ialah mereka perlu membuktikan bahawa Pakatan Rakyat ini satu gabungan yang mantap dan tidak lagi terikat dengan parti itu perlu bertanding kawasan ini atau parti ini perlu bertanding di kawasan itu," katanya kepada Astro AWANI.
Katanya, dengan majoriti yang besar diperolehi DAP pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu, mencalonkan Mohamad tidak akan mengurangkan majoriti.
Malah beliau berpendapat, ia sedikit sebanyak boleh membuatkan usaha untuk mengeruhkan hubungan antara DAP dan PAS menggunakan isu hudud boleh terjejas.
"Sebelum ini, mendiang Karpal Singh menang dengan majoriti besar, 42,706 undi, kalau letak Mat Sabu ia tidak akan membuatkan lawan Pakatan Rakyat boleh merampas kerusi tersebut.
"Kalau berlaku penurunan pun ia tidaklah besar, mungkin cuma beberapa peratus sahaja dan tidak memberi kesan kepada Pakatan Rakyat dan DAP," katanya.
Dr Shaharuddin berkata pemimpin utama Pakatan Rakyat perlu melihat cadangan yang dikemukan supaya meletakkan timbalan presiden PAS itu sebagai satu usaha untuk memantapkan lagi gabungan tersebut di mata rakyat.
Katanya, sehingga kini, gabungan tersebut masih dilihat tidak benar-benar kukuh malah ada di kalangan rakyat tidak kira Melayu atau bukan Melayu meragui kesefahaman gabungan tersebut.
"Ini mungkin masa terbaik untuk mereka membuktikan kepada rakyat, Pakatan Rakyat satu gabungan yang serius," katanya lagi.
Pada Isnin, aktivis Pakatan Rakyat, Hishamuddin Rais mencadangkan agar DAP meletakkan Mohamad sebagai calon Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor yang akan diadakan pada 25 Mei nanti.
Kata Hishamuddin, meletakkan Mohamad sebagai calon di Bukit Gelugor boleh memberi makna baru terhadap kerjasama dalam gabungan tersebut.
Mohamad bagaimanapun menganggap cadangan Hishamuddin itu mustahil untuk dilaksanakan biarpun ia satu yang baik.
Selain itu, Hishamuddin berpendapat ia juga boleh meredakan pertelingkahan mengenai isu hudud antara PAS dan DAP.
Selain Hishamuddin, sebuah badan bukan kerajaan, Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin turut memberikan cadangan yang sama.
Presidennya Ramesh Rao berkata, meletakkan Mohamad sebagai calon membolehkan PAS menjelaskan isu hudud dan memastikan masyarakat bukan Islam memahami perkara berkenaan.
DAP akan mengumumkan calon parti itu untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor Sabtu ini.
PRK Parlimen Bukit Gelugor diadakan berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh (DAP) dalam kemalangan jalan raya pada 17 April lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mei sebagai hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 21 Mei dan hari mengundi pada 25 Mei.
Mendiang Karpal Singh, yang juga bekas pengerusi DAP, memenangi kerusi itu pada PRU 2013 dengan majoriti 42,706 undi menewaskan calon BN Teh Beng Yeam, yang memperoleh 13,597 undi.