'Penat macam mana pun, kebajikan pesakit sentiasa lebih tinggi daripada diri sendiri'
Hasimi Muhamad
Februari 12, 2021 10:13 MYT
Februari 12, 2021 10:13 MYT
PANDEMIK COVID-19 memberi cabaran baharu kepada mereka yang terlibat dalam bidang sains, khususnya petugas kesihatan.
Dari waktu kerja yang tidak menentu sehinggalah kepada pengorbanan untuk meninggalkan keluarga, semuanya dilakukan demi memastikan perkhidmatan kesihatan negara tidak terjejas.
Namun, di sebalik cabaran tersebut, penglibatan wanita dalam bidang sains tidak boleh disangkal.
Bagi Pakar Mikrobiologi Klinikal dan Ketua Unit Kawalan Infeksi, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Dr Sharifah Azura Salleh, paling penting adalah jangan menganggap bidang sains dan perubatan sebagai susah dan membebankan.
“Kakitangan kesihatan ini keistimewaan dia ialah penat macam mana pun, kebajikan pesakit sentiasa lebih tinggi daripada diri sendiri dan juga keluarga… Itu memang dari asal (sikap) yang dimiliki petugas kesihatan.
“Jadi bila perlu kerja lebih atau tak dapat cuti, memang akan dengar mereka penat tetapi tak pernah mereka tidak datang kerja.
“Tak perlu disuruh mereka tetap akan hadir dan ini adalah satu kelebihan yang tidak dapat dinafikan, tak kira di hospital kerajaan ataupun swasta,” katanya kepada Astro AWANI pada Khamis.
Beliau berkata demikian sempena Hari Antarabangsa Wanita Dalam Sains yang disambut pada 11 Februari.
Sambutan kali keenam pada tahun ini diadakan di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara maya, bertemakan ‘Menjangkaui Sempadan: Kesamarataan Dalam Sains Kepada Masyarakat’.
Berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang perubatan, Dr Azura, 49, akui wanita berdepan cabaran berganda sejak zaman belajar sehingga ke alam pekerjaan.
Bagaimanapun, anak bongsu kepada empat beradik itu menyifatkan semangat juang yang dimiliki membuktikan kaum wanita mampu menyeburi dan berdiri setaraf kaum lelaki dalam sains perubatan.
“Kalau kita tengok semakin ramai pelajar perubatan dan doktor-doktor yang dah lulus adalah dari kalangan wanita.
“Ini mungkin antara minat ataupun kebolehan mereka untuk menghabiskan (pengajian perubatan). Sebab kita tahu pelajaran untuk kesihatan ini berat untuk menghabiskan, tidak kira sama ada mahu menjadi jururawat, doktor atau bahagian makmal mahupun bahagian rawatan kecemasan.
“Itu cabaran sebagai wanita sebab semasa belajar pun berat, bekerja pun berat. Namun, ramai yang dapat menghabiskannya dan ramai yang meneruskan pekerjaan dalam bidang kesihatan,” ujarnya lagi.
Mengimbau kenangan ketika mula-mula mahu melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di University College Cork, Ireland, Dr Azura berkata ibunya antara individu yang “menentang” cita-cita beliau itu.
Ibu mana yang tidak mempunyai perancangan untuk masa depan anak mereka, begitu juga Dr Azura apabila insan yang melahirkannya itu mahukan beliau menjadi seorang pendidik.
“Namun, sekarang ibu sayalah yang menjadi penyokong kuat, memberi semangat… Malah, sangat memahami tugas yang saya pikul dan beban kerja saya,” katanya dalam nada gembira.
Justeru, Dr Azura yang juga Pensyarah Perubatan Kanan, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata minat dalam bidang sains perlu diterap sejak dibangku sekolah, selain persepsi bahawa bidang tersebut adalah susah perlu dihapuskan.
Pada hujung tahun lalu, Dr Azura antara yang dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pendaftaran, Logistik, dan Pembangunan Vaksin COVID-19.
#Hari Antarabangsa Wanita Dalam Sains
#Dr Sharifah Azura
#Hospital Canselor Tuanku Muhriz
#petugas kesihatan
#COVID-19
#perubatan
#UKM
#vaksin COVID-19
#Cabaran wanita