'Penat dan letih, banjir pertama tak habis kemas dah kena gelombang kedua' - Mangsa

Fareez Azman
Januari 5, 2022 19:36 MYT
Kampung peruas adalah antara kawasann yang teruk dilanda banjir pada penghujung Disember lalu dan kali kedua, pada awal tahun baharu 2022. - Astro AWANI
RAUB: Gelombang kedua banjir yang melanda daerah Raub, Pahang sejak awal Januari lalu telah surut sepenuhnya semalam.
Namun kesan yang ditinggalkan, perit untuk ditelan oleh setiap mangsa.
Selepas ke Kampung Ajai di Ulu Dong, krew Astro AWANI ke Kampung Peruas, antara kawasan yang agak teruk terjejas selepas dibadai dua episod banjir.
Berdasarkan pemerhatian, arus deras yang kuat daripada Sungai Dong, mengakibatkan jambatan yang merentanginya runtuh, begitu juga dengan putusnya beberapa jalan yang menghubungkan kawasan kampung itu.
Kerosakan dan kekotoran akibat bah juga dilihat berbekas di kebanyakan kediaman di situ.
Penat kemas rumah
Bagi seorang penduduk, Mansor Nahsin, 60, belumpun selesai mencuci rumahnya akibat dibadai gelombang pertama pada Disember 2021, isi rumah warga emas itu diuji sekali lagi dengan gelombang kedua pada awal Januari tahun baharu 2022.
Dalam sisa tenaga yang diperah sehabisnya, perkataan penat bagaikan suatu yang understatement apabila bercakap tentang kerja membersihkan hampir kesemua barangan rumah yang terpalit kekotoran bah.
"Yang gelombang pertama dulu tak habis kemas, lagilah gelombang yang baru ini.
"Saya berapa hari dah duduk balai raya, semalam (Selasa) baru balik ke rumah.
"Penat dan letih, rugi banyak... Habis barang-barang elektrik macam televisyen, mesin basuh tak selamat," luahnya dalam nada berbaur pilu.
Dinding rumah runtuh
Begitupun sukar menemui rentak menguruskan keadaan rumahnya, Mansor tetap bersyukur apabila rumahnya masih kukuh. Nasib itu tidak menyebelahi keluarga abang iparnya, Dzulkifli Jantan, 69, yang kini menumpang tidur di rumahnya.
Menurut Mansor, dinding rumah Dzulkifli rebah menyembah bumi selepas dibadai gelombang kedua pada Sabtu lalu.
"Masa kejadian itu (kami) naik Hilux ketua kampung untuk dibawa ke surau. Kami lama dah tinggal di sini, selalunya tak macam ini.
"Airnya memang laju sampai habis dinding sebelah, jam 5 pagi saya dengar bunyi kuat. Saya hanya mampu tengok dari jauh saja, tak boleh buat apa," ceritanya.
Mohon rumah baru lekas siap
Setiap hari, Dzulkifli hanya mampu merenung memikirkan episod hidupnya selepas ini.
Dia yang menghidap penyakit prostat tinggal bersama anak dan menantunya di rumah tersebut yang kini sudah hilang dinding dan struktur utamanya.
Kini berteduh di bawah ihsan saudara, dia amat berharap bahawa tempoh menumpang sementara di rumah adik iparnya itu tidak lama.
Besar harapannya agar bantuan membaiki semula rumahnya yang rosak dapat dibuat secepat mungkin.
"Ada orang datang dah tengok, tapi tak ada jawapan. Sekarang duduk di rumah adik ipar... menumpang.
"Kalau tak ada orang buat rumah, menumpanglah. Nak duduk mana lagi? Rumah tu dah tak selamat.
"Sampai bila (hendak menumpang)? Dia (Mansor) berkeluarga... maknanya kalau dapat cepatkan siap, bolehlah saya pindah terus," katanya lagi.
Pemerhatian Astro AWANI di kampung berkenaan juga mendapati rata-rata penduduk yang terkesan sedang bertungkus-lumus membersihkan kediaman masing-masing.
#banjir #Raub #kampung peruas #mangsa banjir
;