Penat cuci rumah belum hilang, kediaman sekali lagi dilanda banjir

Bernama
Disember 8, 2017 04:04 MYT
Rumah Jasimah yang terletak kira-kira 50 meter dari Sungai Lipis dinaiki air sehingga paras lutut setelah hujan lebat sejak 5 petang semalam. -Gambar hiasan
"Penat mencuci rumah Isnin lepas masih belum hilang, tengah malam tadi rumah makcik sekali lagi dinaiki air berserta dengan lumpur," kata Jasimah Mohamad, 65, yang merupakan salah seorang penduduk Kampung Kuala Semantan, di sini.
Dalam kejadian terbaharu pada 12.30 tengah malam Khamis, rumahnya yang terletak kira-kira 50 meter dari Sungai Lipis dinaiki air sehingga paras lutut setelah hujan lebat sejak 5 petang semalam.
"Dalam seminggu ini dah dua kali rumah makcik dinaiki air, barang dan perabot semasa banjir Ahad lepas pun tak sempat kemas lagi," katanya ketika ditemui Bernama di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Masjid Jamek Kuala Semantan pada Jumaat.
Beliau merupakan antara 31 mangsa daripada sembilan keluarga ditempatkan di situ, berikutan kediaman mereka yang kebanyakannya berhampiran Sungai Lipis dinaiki air dengan ada antaranya mencecah sehingga ke paras dada orang dewasa.
Bagaimanapun, Jasimah bersyukur kerana tidak banyak perabot dan barang elektrik yang rosak dalam kejadian banjir kali ini kerana kebanyakannya masih berada di tempat tinggi.
Sementara itu, seorang lagi mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan itu Rahim Mat Ali, 37, berkata pada tahun ini sudah tujuh kali kampung mereka dilanda banjir.
"Daripada jumlah itu, tiga kali kami terpaksa berpindah setelah paras air Sungai Lipis melimpah. Kalau hujan lebat sejam atau dua jam, sudah pasti rumah kami akan dilanda banjir.
"Walaupun sebenarnya penat berhadapan situasi seperti ini lagi, nak buat macam mana, di sinilah rumah kami, mahu atau tidak terpaksa juga menghadapinya," kata beliau.
Beliau berkata air mula memasuki rumahnya pada 11.30 malam tadi dan beliau memuji tindakan pantas pihak berkuasa yang memindahkan penduduk kampung terjejas dengan kejadian banjir, sekali gus dapat mengelak kejadian tidak diingini.
"Alhamdulillah...makanan pun mencukupi, tidak perlu berebut-rebut seperti diceritakan dalam kalangan mangsa banjir sebelum ini," katanya.
Untuk rekod, ini kali kedua Raub dilanda banjir dalam tempoh seminggu selepas kali pertama pada 2 hingga 5 Dis lalu, menyaksikan tiga PPS dibuka, di Kampung Melayu Cheroh, Kampung Ulu Sungai dan Kampung Kuala Semantan.
-- BERNAMA
#Jasimah Mohamad #Kampung Kuala Semantan #mangsa banjir #PPS #pusat pemindahan #Pusat Pemindahan Sementara #Sungai Lipis
;