Penat buat kerja rumah? Pembantu rumah warga asing masih tidak boleh masuk Malaysia
Hasimi Muhamad
Jun 24, 2020 16:33 MYT
Jun 24, 2020 16:33 MYT
Kerajaan setakat ini masih tidak membenarkan kemasukan pembantu rumah warga asing ke negara ini terutamanya dari negara-negara berisiko tinggi dijangkiti COVID-19.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan masih meneliti perkara tersebut dan sedang dalam pertimbangan.
"Kita masih belum membuka dan membenarkan pembantu rumah untuk pulang dari negara-negara berisiko tinggi. Ramai pembantu rumah dari negara tersebut, dan kita belum benarkan.
"Insya-Allah dari masa ke masa kita akan berbincang seperti saya sebutkan sebelum ini, banyak kelonggaran tetapi ia secara berperingkat," katanya dalam sidang media harian, di sini pada Rabu.
Terdahulu, Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA), Pertubuhan Kebangsaan Sumber Manusia, Persatuan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) dan Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia (PIKAP) menggesan kerajaan memberi pengecualian untuk membenarkan kemasukan pekerja asing bagi memenuhi permintaan pembantu rumah.
#coronavirus
#COVID-19
#ismail sabri yaakob
#keselamatan
#koronavirus
#Malaysia
#Media
#pekerja asing
#warga asing