Penarik kereta maut dalam nahas di Kampar
Nazialita Geynna Maharan
Mei 11, 2017 16:59 MYT
Mei 11, 2017 16:59 MYT
Nasib seorang penarik kereta yang ingin memindahkan kenderaan seorang pengguna jalan raya berakhir dengan tragedi dalam satu kemalangan di Kilometer 303.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) hala utara pada petang Rabu.
Dalam kejadian membabitkan tiga kenderaan sekitar 6.30 petang Rabu itu, mangsa S. Murugan, 45, maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kampar, Supt Ng Kong Soon berkata kejadian berlaku apabila sebuah kenderaan jenis Isuzu DMax hilang kawalan setelah terlanggar lopak air dan terbabas ke bahagian kiri jalan.
“Kenderaan berkenaan kemudian melanggar sebuah kereta jenis Peugeot yang berhenti kerana kehabisan minyak, serta bahagian belakang kenderaan penarik kereta yang berada di hadapan Peugeot itu.
“Pada masa sama, mangsa pula keluar dari kenderaannya untuk menarik kereta Peugeot tadi.
“Sejurus kemudian, kenderaan Isuzu DMax itu merempuh mangsa sehingga menyebabkan mangsa tercampak ke bahu kiri jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita.
Katanya lagi, keputusan bedah siasat di Hospital Kampar mendapati punca kematian adalah disebabkan “Polytrauma Secondary to Motor Vehicle Accident”.
Ng berkata pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut dan waris mangsa juga telah dimaklumkan berkenaan insiden tersebut.
“Tiada sebarang tangkapan dilakukan dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1986,” katanya lagi.