Penarik kereta didakwa kes bunuh pengasas Ambank

Astro Awani
Oktober 3, 2013 06:41 MYT
Seorang penarik kereta dihadapkan ke mahkamah pagi tadi berikutan tuduhan membunuh Pengasas Arab-Malaysian Bank (AmBank), Julai lalu.
Dia didakwa Mahkamah Majistret, Kuala Lumpur atas tuduhan membunuh pengasas AmBank, Hussain Ahmad Najadi di tempat letak kereta, tokong Cina Kuan Yin, Nombor 4, Lorong Ceylon, antara jam 1.30 petang hingga 2 petang, 29 Julai lalu.
Koong, 44, turut berdepan pertuduhan cubaan membunuh isteri pengasas itu, Cheong Mei Kuen, 49.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Koong selepas pertuduhan dibacakan di depan Penolong Pendaftar Rosmaniar Zainuddin.
Mahkamah menetapkan 9 Disember ini untuk sebutan kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala tertuduh yang berbaju t-shirt putih, tidak diwakili peguam.
Dalam kejadian itu, Hussain, 75, maut manakala isterinya cedera parah akibat ditembak dari jarak dekat di kawasan parkir kereta sejurus keluar dari tokong berkenaan selepas berunding mengenai urusan perjanjian tanah.
#ambank #bunuh #Hussain Ahmad Najadi #lorong ceylon #pengasas #tembak