Penarafan bintang kepada KRT bermula tahun depan - Menteri

Umavathi Ramayah
Ogos 28, 2020 19:40 MYT
Halimah Sadique berkata, penarafan bintang bertujuan menggalakkan persaingan sihat dalam kalangan KRT memababitkan amalan pengurusan organisasi dalam masyarakat tempatan. - Gambar fail/BERNAMA
Kementerian Perpaduan Negara akan mewujudkan pengiktirafan melalui penarafan bintang kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bermula tahun depan, seiring usaha meningkatkan tadbir urus terbaik dan kualiti perkhidmatan mereka.
Menterinya, Datuk Halimah Sadique berkata, penarafan bintang bertujuan menggalakkan persaingan sihat dalam kalangan KRT membabitkan amalan pengurusan organisasi dalam masyarakat tempatan.
Beliau menjelaskan, penilaian penarafan itu akan dilakukan berdasarkan pengurusan pentadbiran, kewangan dan juga kerjasama strategi yang diadakan di antara jabatan-jabatan di peringkat daerah.
"Apa yang dilakukan sebelum ini, kita buat penilaian KRT berdasarkan yang paling aktif, aktif dan sederhana aktif yang dinilai mengikut program.
"Tapi tahun depan, kita akan memperkenalkan star rating (penarafan bintang) yang akan dinilai dari segi pentadbiran," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran kempen Pembudayaan Norma Baharu Pasca COVID-19 dan perhimpunan bulanan Kementerian Perpaduan Negara di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Halimah berkata, kementerian itu juga sedang mempertimbangkan untuk memberi geran tetap kepada KRT.
Katanya, geran yang diberikan yang kepada KRT di negara ini melibatkan RM38.1 juta.
"Sebenarnya apa yang diberikan itu adalah imbuhan atas kecemerlangan," tambahnya.
#COVID-19 #Kawasan Rukun Tetangga KRT #kementerian perpaduan negara #pandemik #perhimpunan #perpaduan
;