Penangguhan UPSR harus dilihat secara positif - Idris

Harits Asyraf Hasnan
September 30, 2014 09:34 MYT
Murid tahun 6 SK Bangsar berdoa dan bersedia sepenuhnya untuk menduduki semula UPSR - Foto AWANI
Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh menyifatkan pengulangan dan penangguhan beberapa kertas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) perlu dilihat secara positif.
Idris berkata, keputusan optimis kerajaan itu sebagai langkah untuk menilai prestasi sebenar murid Tahun 6.
Malah, kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan amat menghargai penglibatan secara langsung ibu bapa dan guru-guru dalam membangkitkan semangat murid untuk terus melakukan yang terbaik dalam ujian tersebut.
"Saya lihat majoriti ibu bapa dan guru melihat secara positif. Kerana kalau kita meneruskan kertas yang lama dia tidak menggambarkan sebenarnya apakah prestasi pelajar sepenuhnya.
"Syukur dan terima kasih kepada ibu bapa dan guru-guru melihat perkembangan ini sebagai satu perkembangan yang positif," kata Idris selepas meninjau proses menduduki semula peperiksaan Sains dan Bahasa Inggeris di SK Bangsar pada Selasa.
Hadir sama dalam lawatan tersebut Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datin Nawal Salleh dan Timbalan Pengarah (Operasi) Lembaga Peperiksaan, Dr. Sulaiman Hashim.
#bocor #Idris Jusoh #integriti #pendidikan #peperiksaan #UPSR
;