Penangguhan umrah: Jangan lama sangat, perketat SOP lebih baik - Majlis Islam Sarawak
Shafik Ahmad
Januari 4, 2022 14:22 MYT
Januari 4, 2022 14:22 MYT
KUCHING: Majlis Islam Sarawak (MIS) akur dengan keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menangguhkan sementara ibadah umrah yang berkuatkuasa 8 Januari 2022.
Jelas Yang Dipertua MIS Datuk Misnu Taha pihaknya akur dengan keputusan berkenaan dan pada masa yang sama berharap ia tidak akan berlarutan dan mengambil masa yang panjang
Justeru, Misnu berharap kerajaan membenarkan pintu jemaah umrah dibuka walaupun dengan penetapan SOP yang ketat.
“Kami dari pihak MIS akur dengan keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Saya harap nanti kebenaran untuk pintu jemaah umrah dipercepatkan kerana ia seharusnya tidak menjadi satu masalah sekiranya SOP ketat dilakukan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di bangunan Baitulmal Kuching, hari ini.
Tambah Misnu, ramai jemaah yang telah bersedia tetapi oleh kerana wabak yang masih membimbangkan dan ditambah dengan kemunculan varian baru (Omnicron), keputusan ini diangap sebagai satu inisiatif menjaga keselamatan para jemaah.
Ketika ini sekitar 400 jemaah umrah yang telah berdaftar di Sarawak terpaksa menangguhkan ibadah umrah sehingga tarikh baru yang akan diumumkan.
Untuk rekod KKM memaklumkan bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Disember 2021, sebanyak 2,763 kes positif COVID -19 telah dikesan dalam kalangan pengembara yang tiba di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA).
Menyentuh mengenai SOP masjid susulan peralihan Sarawak ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang berkuatkuasa hari ini, Misnu berkata pihaknya akan mengeluarkan SOP berkenaan dalam masa terdekat.
Jelasnya, mesyuarat rasmi MIS berkaitan SOP masjid telah diadakan pada Selasa namun perinciannya masih dalam perbincangan sehinggalah diluluskan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).
“Walaupun telah memasuki fasa 4, kita harus hormat SOP sedia ada untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
“ Insyaallah Majlis Islam atas keputusan JPBNS akan mengeluarkan SOP terbaru pada masa terdekat” ujarnya.
#Penangguhan umrah
#Majlis Islam Sarawak MIS
#Kementerian Kesihatan
#Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara PPN