Penangguhan projek kapal LCS akan dibawa ke mesyuarat Kabinet- Ismail Sabri

Aida Aziz
April 26, 2021 23:41 MYT
Ismail Sabri berkata beliau percaya isu tersebut akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat. - Gambar fail
LUMUT: Isu penangguhan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) di Lumut, akan dibawa ke mesyuarat Kabinet bagi mendapatkan pandangan dan cadangan sekali gus menyelesaikan kemelut tersebut.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata beliau percaya isu tersebut akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat, dengan mengambil kira kebajikan pekerja yang terjejas.
"Ada dua pilihan yang kita cadangkan, pertamanya Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd meneruskan projek ini dengan beberapa cadangan hala tuju baharu, yang akan dikemukakan kepada Kabinet nanti.
"Kalau Kabinet tidak bersetuju, kita mungkin akan membatalkan dan melantik syarikat lain.
"Tetapi setakat ini kita masih lagi dengan pilihan pertama, iaitu supaya Bousted dibenarkan untuk meneruskan projek ini dengan cadangan hala tuju yang baharu, saya tak boleh dedahkan lagi kerana Kabinet belum berbincang.
"Saya percaya minggu depan atau minggu sekali lagi kita boleh bentangkan," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut di sini pada Isnin.
BACA: Penangguhan projek LCS: 10,000 pekerja terjejas, 200 vendor gulung tikar - Zambry
Yang turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.
Terdahulu, Ismail Sabri merasmikan stesen minyak pertama di kem tentera selain menyantuni anggota TLDM dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU), seterusnya menyaksikan demonstrasi keupayaan Fast Interceptor Craft (FIC) atau kapal pemintas.
Pada Sabtu, media melaporkan hampir 10,000 pekerja tempatan termasuk pekerja mahir terjejas ekoran penangguhan projek pembinaan LCS di Lumut sejak Disember 2019.
Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Zambry Abd Kadir mendakwa, ia turut menyebabkan hampir separuh daripada 400 syarikat vendor tempatan terpaksa gulung tikar.
Mengikut perancangan asal, dua daripada enam LCS sepatutnya sudah diterima sehingga kini, namun difahamkan belum ada kapal disiapkan.
Difahamkan dua buah kapal sudah siap sekitar 70 peratus ketika projek itu ditangguhkan lebih setahun lalu.
#penangguhan projek LCS #ismail sabri yaakob #kapal #Kapal Tempur Pesisir Pantai #TLDM #boustead
;