Penangguhan bayaran balik PTPTN dilanjut 3 bulan lagi bagi peminjam terkesan COVID-19

Astro Awani
Jun 9, 2021 18:36 MYT
Peminjam PTPTN yang terkesan boleh mengemukakan permohonan melalui portal rasmi PTPN mulai 10 Jun hingga 31 Ogos 2021. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi mengumumkan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ditangguhkan selama tiga bulan lagi bagi peminjam yang terkesan akibat COVID-19.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad, berkata langkah itu berikutan kerajaan menyedari terdapat peminjam PTPTN yang terjejas dengan pandemik berkenaan dan belum berupaya membuat bayaran balik pinjaman.
Ujar beliau, peminjam PTPTN yang terkesan boleh mengemukakan permohonan melalui portal rasmi PTPTN mulai 10 Jun hingga 31 Ogos 2021.
Namun, perincian berkenaan kriteria peminjam PTPTN yang terkesan bagi tujuan memohon penangguhan itu belum dijelaskan.
“Tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman bermula dari bulan permohonan yang diluluskan.
“Butiran berkenaan pelaksanaan penangguhan bayaran balik pinjaman ini akan diperincikan oleh PTPTN,” kata Noraini dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sebelum ini, bayaran balik pinjaman PTPTN turut ditangguhkan mulai 19 Mac 2020 hingga 31 Disember 2020 bagi semua peminjam PTPTN dan penangguhan khas bayaran balik kepada peminjam PTPTN yang terkesan selama tiga bulan dari Januari hingga Mei lalu.
#PTPTN #Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional #COVID-19 #Peminjam #Bayaran Balik #tangguh #Kementerian Pengajian Tinggi #noraini ahmad
;