Penanaman pokok bakau diteruskan di pesisiran pantai negara
Bernama
Februari 2, 2022 20:12 MYT
Februari 2, 2022 20:12 MYT
PUTRAJAYA: Program penanaman pokok bakau dan spesies yang sesuai akan diteruskan di pesisiran pantai negara meliputi aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan hutan paya bakau dan peningkatan kesedaran masyarakat, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Dalam perutusan sempena Hari Tanah Lembap Sedunia yang disambut setiap 2 Feb, Takiyuddin berkata Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) juga akan melaksanakan pemasangan penghadang dan cerucuk rakit mesra alam bagi mengurangkan hakisan pantai di Tapak Ramsar Tanjung Piai, Johor.
KeTSA juga menyokong usaha penyelidikan dan pembangunan tanah lembap melalui penyediaan dana di bawah Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli Nasional (NCTF) dengan antara fokus pembiayaan adalah untuk mengurus, memantau dan melindungi kawasan berkepentingan biodiversiti dan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).
Takiyuddin berkata KeTSA menyambut baik sebarang pencalonan kawasan yang berpotensi untuk dicalonkan sebagai tapak berkepentingan biodiversiti antarabangsa oleh kerajaan negeri seperti Kuala Gula-Matang di Perak dan Teluk Air Tawar-Kuala Muda di Pulau Pinang.
"KeTSA juga akan terus memberi sokongan kepada semua usaha ke arah mengekal, memelihara dan memulihara tanah lembap demi memastikan kelestarian dan kelangsungan khazanah biodiversiti negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Hari Tanah Lembap Sedunia disambut pada 2 Feb setiap tahun untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memelihara dan memulihara kawasan tanah lembap serta memperingati tarikh penubuhan Konvensyen Ramsar yang Malaysia menyertainya pada 10 Mac 1995.
Tanah lembap meliputi kawasan tanah gambut, paya bakau, sungai, tasik dan pesisiran pantai yang menjadi habitat kepada kepelbagaian spesis flora dan fauna terutama burung bermigrasi.
Takiyuddin berkata terdapat tujuh kawasan diiktiraf sebagai Tapak Ramsar di Malaysia iaitu Tasek Bera di Pahang, Tanjung Piai, Pulau Kukup dan Sungai Pulai di Johor, Kuching Wetlands National Park di Sarawak dan Lower Kinabatangan-Segama Wetlands serta Kota Kinabalu Wetlands di Sabah.
"Tapak-tapak ini dilindungi melalui pewartaan oleh kerajaan negeri sama ada di bawah undang-undang perhutanan, taman negeri, hutan simpanan kekal atau kawasan perlindungan tanah lembap," katanya.
-- BERNAMA
#penanaman pokok bakau
#pesisiran pantai negara
#hutan paya bakau
#Kementerian Tenaga dan Sumber Asli
#ketsa
#Takiyuddin Hassan