Penambaikan Skim Jaminan Kredit Perumahan bantu atasi rumah tidak terjual - Pakar Ekonomi

Bernama
Mac 31, 2023 04:45 MYT
Dalam Belanjawan 2023, kerajaan mengumumkan SJKP telah ditambah baik dengan meningkatkan dana jaminan pembiayaan daripada RM3 bilion kepada RM5 bilion. - Gambar fail/ Bernama
KUALA LUMPUR: Penambahbaikan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dalam Belanjawan 2023 menerusi peningkatan dana pembiayaan dan peluasan kelayakan pemohon kepada golongan berpendapatan tetap, mampu membantu mengurangkan jumlah rumah kos rendah dan sederhana yang tidak terjual.
Pakar ekonomi Dr Jain Yassin berkata skim yang menawarkan pembiayaan sehingga RM400,000 itu secara keseluruhannya memberi sinar kepada golongan berpendapatan tetap dan tidak tetap untuk memiliki rumah pertama pada usia di bawah 35 tahun.
"Dengan jumlah pembiayaan itu, pasti pembeli boleh mendapatkan kediaman selesa walaupun sedikit jauh dari bandar, dan ia juga sesuatu yang sihat kepada industri (pemain sektor hartanah) kerana banyak rumah berharga dalam lingkungan pembiayaan itu boleh dijual," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Negara pada Rabu lepas bahawa sasaran SJKP akan diperluaskan merangkumi kedua-dua golongan berpendapatan tetap dan tidak tetap, bagi memiliki kediaman pertama yang memberi manfaat kepada golongan B40 dan M40.
Dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan pada 24 Feb lepas, kerajaan mengumumkan SJKP telah ditambah baik dengan meningkatkan dana jaminan pembiayaan daripada RM3 bilion kepada RM5 bilion untuk membantu pembeli rumah kali pertama, terutamanya mereka yang tidak berpendapatan tetap.
Menurut Laporan Status Pasaran Harta Tanah Kediaman, Kedai dan Industri yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara, terdapat 10,901 unit kediaman di bawah harga RM400,000 siap dibina tidak terjual pada suku keempat tahun lepas.
Namun Jain yang merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah berkata kerajaan harus membuat penilaian risiko terhadap sebarang kemungkinan yang akan berlaku susulan pelaksanaannya.
Beliau berkata perkara itu penting kerana Malaysia perlu mempelajari krisis lambakan rumah yang tidak berbayar yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) pada 2008.
Jain berkata AS pada masa itu melonggarkan syarat pinjaman perumahan kepada rakyatnya, namun kemudian banyak rumah terpaksa dilelong kerana ada pembeli tidak mampu membayar hingga memaksa kerajaan mengeluarkan beberapa dana tambahan untuk menyelesaikan permasalahan berbangkit.
"Walaupun secara umumnya skim ini berbeza kerana di bawah SJKP sebuah syarikat dilantik untuk menguruskan proses pembiayaan dengan tapisan yang lebih ketat manakala di AS pula pendekatan pemberian pinjaman dilakukan secara langsung menerusi pihak bank, tetapi implikasinya mungkin sama," katanya.
Sementara itu, pekerja swasta bergaji tetap Zaharah Adnan, 35, berkata inisiatif itu adalah berita baik buatnya memandangkan dia sudah lama berniat untuk membeli kediaman di ibu negara namun masih tidak mempunyai kewangan mencukupi untuk deposit pembelian rumah.
"Tidak semua orang bergaji tinggi ketika permulaan kerjaya, malah disebabkan komitmen yang banyak, saya sukar untuk menyimpan wang. Dengan simpanan yang kadang-kadang hanya RM100 sebulan, jauh (lama) lagi impian saya untuk memiliki rumah sebab wang deposit untuk membeli rumah tidak pernah mencukupi," katanya.
Berdasarkan maklumat di laman sesawang SJKP, mereka yang layak mendapatkan pembiayaan hanya perlu membayar deposit mandatori bersamaan dengan tiga bulan bayaran bulanan, jauh lebih rendah berbanding 10 peratus daripada harga belian yang ditetapkan sebelum ini.
Bagi pemandu e-hailing Mohammed Khairul Ali, 33, pula, cabaran utama sepertinya dalam memiliki kediaman adalah untuk mendapatkan pinjaman bank kerana tanpa slip gaji dan lain-lain dokumen, sebarang permohonan pinjaman tidak akan diluluskan.
"Jangan kata pinjaman rumah, pinjaman pembelian kenderaan dan pinjaman peribadi pun sukar. Jadi sekiranya SJKP dapat membantu menyelesaikan perkara itu, pasti sangat membantu golongan seperti kami," katanya yang terlibat dengan sektor itu sejak 2019. - BERNAMA
#Belanjawan 2023 #Dewan Negara #golongan B40 #SJKP
;