Penambahbaikan rumah guru SK Ulu Ansuan siap bulan ini - PPD Telupid
Bernama
November 23, 2023 22:22 MYT
November 23, 2023 22:22 MYT
TELUPID: Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan (KPM) sudah melaksanakan penambahbaikan kuarters guru Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan di sini bagi menyediakan kediaman selesa kepada tenaga pengajar di sekolah itu.
Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Telupid dan Tongod Albert Andau Paulus Andau berkata projek menaik taraf kediaman guru bernilai RM200,000 itu bermula sejak Jun lalu dan akan siap sepenuhnya bulan ini.
"Projek ini telah dimulakan pada Jun tahun ini dan telah selesai bulan ini, malah guru-guru telah mula menggunakan rumah ini yang memberikan keselesaan buat mereka," katanya ketika ditemui Bernama dan RTM di sekolah itu di sini hari ini.
Baru-baru ini media melaporkan Guru Besar SK Ulu Ansuan George Odol yang akan bersara wajib pada 27 Nov ini, tinggal di dalam sebuah stor sekolah selama lebih tiga tahun, untuk meneruskan perjuangannya mendidik anak bangsa.
Sekolah yang mula beroperasi pada 2000 itu, sejak dari awal tidak mempunyai kemudahan rumah guru, namun Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta guru sekolah itu, mengambil inisiatif membina rumah tersebut namun ia dalam keadaan daif sebelum penambahbaikan itu dilaksanakan.
Telupid merupakan sebuah daerah di kawasan pedalaman Sabah dan SK Ulu Ansuan terletak kira-kira 230 kilometer dari Kota Kinabalu, dengan perjalanan antara lain menelusuri kaki Gunung Kinabalu serta jalan raya yang kurang baik dan merentas sungai.
Albert Andau berkata bagi pelan jangka panjang pula, sebanyak RM12.5 juta telah diluluskan yang secara keseluruhannya untuk mengatasi isu kedaifan sekolah tersebut seterusnya memberikan kemudahan serta fasiliti pendidikan terbaik.
Beliau berkata daripada jumlah itu, RM6.5 juta diperuntukkan untuk projek pembinaan gantian penuh kemudahan dan fasiliti sekolah antaranya melibatkan bangunan serta perabot, yang bermula pada Oktober tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.
Sementara sebanyak RM6 juta lagi bagi pembinaan kuarters guru dan kemudahan lain yang diluluskan melalui Rolling Plan Keempat (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), dan dijadual dilaksanakan pada tahun depan (2024).
"Ini juga (kelulusan melalui RP4) bergantung kepada kelulusan peringkat (agensi) lain antaranya Jabatan Kerja Raya melibatkan proses tender dan sebagainya. Jadi itu semua akan menyelesaikan isu kedaifan di SK Ulu Ansuan ini secara keseluruhannya untuk bangunan sekolah, rumah guru serta kemudahan lain," katanya.
Sementara itu, George ketika ditemui di sekolah itu mengukir senyuman manis dan menarik nafas lega kerana pelbagai usaha sedang dijalankan KPM untuk memberikan kemudahan terbaik kepada 126 pelajar sekolah itu yang amat disayanginya.
Walaupun bakal meninggalkan sekolah itu secara rasmi kerana bersara pada Isnin ini (27 Nov) dan tidak sempat merasai semua kemudahan yang telah dan akan dinaik taraf itu, namun beliau tetap gembira apabila guru, petugas dan pelajarnya dapat memperoleh kemudahan terbaik.
"Saya datang sekolah ini (pada tahun 2020) keadaan rumah guru terutamanya amat daif, namun KPM telah ambil langkah drastik untuk mengatasinya. Cuma harapan saya semua perancangan itu dapat kita laksanakan seperti dijadualkan," katanya yang berterima kasih kepada KPM atas usaha dilakukan itu.
Beliau turut berterima kasih kepada PIBG dan ibu bapa pelajar di sekolah itu kerana sentiasa memberikan sokongan selain sentiasa berusaha memastikan pelajar menerima pendidikan sempurna demi masa depan mereka.
"Hubungan sekolah ini dengan PIBG dan ibu bapa amat baik, mereka sering ambil bahagian dengan pelbagai aktiviti dianjurkan sekolah. Malah mengambil usaha sendiri membina rumah guru untuk kemudahan guru-guru yang bertugas di sini," katanya.
-- BERNAMA