Penambahbaikan mampu lonjak imej Rela - Pakar

Bernama
Mei 14, 2016 11:16 MYT
Ketika ini, jumlah keanggotaan jabatan itu di seluruh negara adalah seramai 3.8 juta dan 1.01 juta daripada jumlah itu adalah berusia di bawah 30 tahun. - Gambar fail
Langkah lebih ketat dan teliti dalam pemilihan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) baharu pada masa akan datang perlu dilaksanakan bagi menjamin kualiti jabatan itu.
Pengarah Pusat Pengajian dan Keselamatan Antarabangsa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Prof. Lt Kol Ahmad Ghazali Abu Hassan berkata selain itu, latihan yang tersusun juga perlu ditekankan bagi melahirkan anggota Rela yang mempunyai tahap disiplin tinggi.
"Misalnya latihan indoktronasi seperti memahami kepentingan tugas dalam membantu menjaga keselamatan dan ketenteraman negara perlu disemai dalam setiap jiwa Rela.
"Kita mahu pastikan mereka yang berminat menjadi Rela betul-betul bebas daripada rekod jenayah dan mempunyai semangat patriotisme sama seperti mana-mana anggota daripada jabatan lain," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan seramai 186,000 anggota Rela yang bermasalah dan terbabit kes jenayah akan ditamatkan perkhidmatannya.
Ahmad Zahid berkata usaha itu dilakukan menerusi program pemutihan secara berterusan bermula Januari lalu bagi mengelakkan penularan unsur negatif dalam anggota biasa, bersekutu atau kehormat jabatan terbabit.
Penganalisis jenayah, Datuk Akhbar Satar pula berkata pengawasan secara berterusan juga perlu dilakukan kepada Rela supaya mengelakkan anggota daripada menyalahgunakan kuasa.
"Ada sebilangan anggota mengambil kesempatan dengan melampaui penggunaan kad kuasa kepada masyarakat terutamanya kepada warga asing yang tidak memahami had kuasa mereka sebenar.
"Sepatutnya, sebagai anggota beruniform, mereka seharusnya menjalankan tanggungjawab dengan berdisiplin dan tidak menyalahgunakan kuasa diberikan yang boleh menjejaskan imej Rela itu sendiri," katanya.
Dalam pada itu, Akhbar berpendapat setiap anggota Rela juga perlu menjaga imej mereka dari segi penyampaian dan penampilan kerana mereka sentiasa dekat dengan masyarakat.
"Rela adalah mata dan telinga kepada kerajaan, mereka perlu mempersiapkan diri dengan meningkatkan kemahiran tertentu seperti skil berkomunikasi yang berkesan," katanya.
Sementara itu, bekas Pengarah Dasar dan Perancangan Strategik Rela, Khairi Mohd Alwee menyifatkan program pemutihan anggota Rela adalah bertepatan kerana sebelum ini jabatan itu berdepan persepsi yang negatif ekoran masalah tata tertib segelintir anggotanya.
"Dulu pengambilan Rela terlalu ramai, tidak dibuat dengan kaedah tapisan kerana kita mementingkan kuantiti.
"Ekoran itu, ada sebahagian daripada mereka mengambil kesempatan dengan melakukan jenayah ringan seperti penyamaran dan rompakan menyebabkan imej jabatan menurun," katanya.
Ketika ini, jumlah keanggotaan jabatan itu di seluruh negara adalah seramai 3.8 juta dan 1.01 juta daripada jumlah itu adalah berusia di bawah 30 tahun.
#Ahmad Ghazali Abu Hassan #disiplin #Jabatan Sukarelawan Malaysia #penambahbaikan Rela #RELA
;