Penambahbaikan gerai dan warung di bandar akan diberi tumpuan dalam Belanjawan Madani - PM

Afiezy Azaman
Ogos 17, 2023 12:22 MYT
Gerai dan warung yang sering dikunjungi golongan berpendapatan rendah di bandar-bandar seluruh negara perlu perlu dinaik taraf, bersih dan dijaga keindahannya, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Gerai dan warung yang sering dikunjungi golongan berpendapatan rendah di bandar-bandar seluruh negara perlu perlu dinaik taraf, bersih dan dijaga keindahannya.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau akan memberi tumpuan terhadap perkara itu dalam Belanjawan Madani yang dijangka akan dibentangkan pada bulan Oktober nanti.
“Bagi saya dari segi budaya, kemanusiaannya konsep Madani ini dia mesti indah yang mana Malaysia dan Kuala Lumpur harus memperkenalkan bangunan, pejabat, peluang-peluang pekerjaan, restoran yang bertaraf dunia.
“Tetapi ukuran pada masa itu ialah nilai manusiawinya yang mana ada gerai yang indah dan kini sebanyak 63 buah yang telah diubahsuai naik taraf di Kuala Lumpur.
“Ini permulaan yang baik, tapi gerai dan warung ini ada ribuan. 63 buah itu satu jumlah yang kecil dan saya percaya dalam Belanjawan Madani bulan Oktober saya akan bagi tumpuan tetapi saya pesan janganlah Kuala Lumpur sahaja. Shah Alam, Petaling Jaya, Ipoh, Kota Bharu, Kota Kinabalu, Alor Setar juga mesti perkenalkan konsep yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa menghadiri Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin Madani serta Pusat Penjaja Madani, di ibu negara, pada Khamis.
Anwar berkata, perubahan warung dan gerai haruslah diselarikan dengan konsep Madani dan ia akan memberikan perubahan dalam tempoh setahun hingga dua tahun.
“Jangan pakai slogan saja kerana perubahan ini mesti ketara, maknanya jika dalam tempoh setahun 150 gerai yang diubah dibina semula kemudian dua tahun 200 gerai. Baru nampak ada makna, baru ada kesan,” ujarnya.
#gerai di bandar #madani #PM Anwar Ibrahim #golongan berpendapatan rendah
;