Penambahan renjer hutan beri peluang pekerjaan kepada Orang Asli
Bernama
Februari 28, 2023 14:51 MYT
Februari 28, 2023 14:51 MYT
GUA MUSANG: Penambahan bilangan renjer mengawal kawasan hutan dengan memberi keutamaan kepada masyarakat Orang Asli untuk berkhidmat, disambut baik komuniti itu.
Nari Abus, 47, dari Kampung Bihai Lama di sini berkata langkah itu memberi peluang pekerjaan kepada mereka, selain menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli.
Katanya langkah itu adalah wajar dalam usaha membantu mengembangkan ekonomi mereka yang berada di kawasan pedalaman.
"Saya sangat gembira dengan pengumuman belanjawan 2023 baru-baru ini dan saya berharap pihak yang terlibat dapat membantu masyarakat Orang Asli untuk mengawal kawasan hutan.
"Kami bukan sahaja dapat pekerjaan di tempat sendiri, malah boleh menjana ekonomi untuk menampung perbelanjaan harian," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya, di sini hari ini.
ORANG ASLI- RENJER 2 (AKHIR) GUA MUSANG
Ketua Penghulu Orang Asli Kelantan Bidi Ronggeng, yang berbesar hati dengan pengumuman kerajaan itu, berkata rata-rata masyarakat Orang Asli begitu mahir dan mengetahui selok-belok kawasan hutan.
"Kami sayangkan hutan kerana ia tempat tinggal kami jadi semestinya kami akan mengambil kesempatan ini (menjadi renjer) untuk menjaga khazanah flora dan fauna yang ditinggalkan nenek moyang.
"Apabila terdapat kursus berkenaan renjer hutan dan pengalaman dalam hutan menjadikan kita lebih bersedia menggalas tanggungjawab jawatan tersebut," katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan semasa membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat baru-baru ini, mengumumkan bahawa kerajaan akan menambah bilangan renjer yang mengawal kawasan hutan kepada 1,500 orang dengan mengutamakan khidmat komuniti Orang Asli serta veteran tentera dan polis, dengan peruntukan RM50 juta.
--BERNAMA