Penambahan petugas tingkatkan kecekapan operasi HSI, HSA - MB Johor
Bernama
Jun 16, 2023 12:40 MYT
Jun 16, 2023 12:40 MYT
JOHOR BAHRU: Penambahan petugas kesihatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini meningkatkan kecekapan operasi wad sekali gus meringankan beban staf sedia ada.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata seramai 243 petugas kesihatan akan ditambah melibatkan pegawai perubatan dan jururawat di kedua-dua hospital itu selain dua wad di HSI yang ditutup sebelum ini telah kembali beroperasi semula.
"Sukacita saya maklumkan Wad 9A dan 10A di HSI yang ditutup sejak tahun lepas, telah kembali dibuka mulai Rabu lalu... untuk staf daripada Kementerian Kesihatan (KKM), 33 orang untuk minggu ini dan akan ada tambahan 60 lagi pada Julai untuk HSI, seramai 150 pula untuk HSA.
"Dengan penambahan tenaga kerja ini, ia akan meringankan beban staf sedia ada dan menambahkan kecekapan di wad-wad yang terlibat," katanya kepada pemberita selepas meninjau pengoperasian HSI di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon, Pengarah Kesihatan Johor Dr Mohtar Pungut @ Ahmad dan Pengarah HSI Dr Zuraini Zainal.
Onn Hafiz turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada pucuk pimpinan peringkat Persekutuan terutama KKM, Menterinya Dr Zaliha Mustafa dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang telah meluluskan penambahan petugas kesihatan di negeri ini.
Beliau berkata bagi menambah baik perkhidmatan HSI, kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi penambahan parkir kenderaan awam, selain RM100,000 untuk pembelian peralatan termasuk kerusi dan meja demi keselesaan petugas kesihatan dan pesakit.
Menurut Onn Hafiz, Dr Zaliha dijadual melawat hospital di negeri ini pada Ahad ini dan antara perkara yang akan dibincangkan adalah berkaitan projek pembinaan HSA2 yang amat diperlukan di Johor.
"Kita harapkan perkara ini dapat diselesaikan segera kerana Johor ini menjadi pusat (kesihatan) bukan sahaja untuk pesakit dari negeri ini, malah kita terima pesakit dari seluruh negara termasuk Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka.
"Ini merupakan gabungan kerjasama yang baik antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. Saya percaya dengan kepimpinan peringkat negeri dan kerjasama dengan peringkat Persekutuan, apa yang kita hasratkan ini boleh tercapai," katanya.
-- BERNAMA