Penambahan kapasiti penerbangan domestik bantu kerajaan stabilkan harga tiket penerbangan

Firdaus Azil
Februari 7, 2024 21:10 MYT
Anthony Loke mengambil peluang beramah mesra dengan penumpang penerbangan OD1904 Batik Air, dan menyampaikan beg cenderahati kepada mereka, dan mengucapkan selamat Tahun Baharu Cina kepada yang meraikannya. - Bernama
KUALA LUMPUR: Peningkatan kekerapan penerbangan domestik, seperti yang dilakukan syarikat Batik Air akan membantu usaha kerajaan menstabilkan harga tiket penerbangan, serta menambah kapasiti yang diperlukan, terutamanya menjelang musim perayaan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, beliau menyambut baik Batik Air yang menambah kekerapan penerbangan tiga kali sehari dari Kuala Lumpur ke Sibu, Sarawak, dan berharap syarikat itu akan menambah lebih banyak destinasi di masa akan datang.
Katanya lagi, kesemua syarikat penerbangan di negara ini harus meningkatkan persiapan bagi menghadapi pertambahan penumpang dalam dan luar negara, yang dijangka akan mencapai tahap seperti sebelum penularan COVID-19.
“(Peningkatan kapasiti Batik Air) ini merupakan satu pesaingan sihat, dan kita lihat tahun lepas angka penumpang telah hampir kembali ke zaman pre-COVID. Kita jangka tahun ini permintaan akan terus kukuh terhadap sektor penerbangan, dan kita jangka jumlah penumpang tahun ini bertambah.
“Ini memerlukan kerjasama syarikat penerbangan untuk sentiasa mencari jalan menambah kapasiti dan penerbangan,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau operasi penerbangan baharu Batik Air dari Kuala Lumpur ke Sibu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, pada Rabu.
Loke, yang juga Setiausaha Agung DAP itu, turut mengambil peluang beramah mesra dengan penumpang penerbangan OD1904 itu, dan menyampaikan beg cenderahati kepada mereka, dan mengucapkan selamat Tahun Baharu Cina kepada yang meraikannya.
Dalam pada itu, Pengarah Strategik Kumpulan Batik Air, Datuk Chandran Muthy berkata, bagi memenuhi permintaan pasaran, Batik Air telah mengembalikan penerbangan dua kali sehari ke Sibu, yang bermula 6 Februari lepas, selain menjadikannya tiga kali sehari antara 6 hingga 9 Februari sempena Tahun Baharu Cina.
“Keputusan ini selari dengan inisiatif Kerajaan untuk meningkatkan kekerapan penerbangan antara Semenanjung dan Malaysia Barat. Objektif kami untuk menjadikan KLIA sebagai hab transit utama di rantau ini, dan laluan baharu ini memboleh penumpang kami dari Sibu dapat akses penerbangan ke 57 destinasi merentasi 20 negara melalui KLIA.
“Kami komited untuk menyediakan akses hubungan kepada penumpang kami, terutamanya dalam musim perayaan yang kita tahu, ramai tidak sabar untuk kembali ke pangkuan keluarga dan rakan-rakan di kampung halaman. Kami ingin menzahirkan penghargaan kepada mereka yang memilih Batik Air,” katanya lagi.
#Anthony Loke #musim perayaan #Batik Air #penerbangan
;