Penambahan dua tren baru bakal tingkatkan kekerapan LRT laluan Kelana Jaya
Ridauddin Daud
Jun 25, 2020 16:09 MYT
Jun 25, 2020 16:09 MYT
Pengenalan beberapa tren baharu empat gerabak bermula dengan dua buah yang diterima pada Ogos ini mampu meningkatkan kekerapan tren kepada purata 2.5 minit berbanding 3.0 minit sebelum ini.
Pengerusi Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, dalam usaha terus memberikan perkhidmatan terbaik, perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya juga sudah menempah 27 buah tren baharu yang akan selesai diterima pada 2023.
Menurutnya, tren tersebut yang bernilai RM1.7 bilion secara keseluruhannya akan menggantikan tren lama yang sudah beroperasi melebihi 20 tahun secara berperingkat.
“Dari segi kapasiti, kita tiada masalah, memang cukup. Bila keadaan dah pulih semula, kita mampu bawa ramai penumpang tidak kira berapa ramai pun.
“Di samping itu, kita memastikan tren-tren yang lebih 20 tahun, kita dah buat pesanan untuk bekalkan tren baru sebagai ganti. Kita sudah pesan 27 tren baru,” katanya dalam sidang media selepas selesai lawatan kerja ke Depoh LRT Laluan Kelana Jaya di sini pada Khamis.
Menurutnya, semua tren tersebut kini sedang dibina di Amerika Syarikat dan penghantaran set pertama tren tersebut dijangka tiba pada Ogos nanti.
Dalam perkembangan lain, Tajuddin menegaskan syarikat itu tidak boleh selamanya bergantung kepada orang luar dalam membekalkan segala komponen untuk perkhidmatan syarikat tersebut.
“Kita boleh belajar teknologi itu supaya kita dapat hasilkan komponen tertentu, atau peralatan tertentu di Malaysia.
“Kalau kita bergantung kepada pembekal luar negara, kita hanya ambil komponen utama mungkin seperti enjin yang kita tidak boleh buat atau komponen kritikal lain,” ujarnya.
Tambah Ahli Parlimen Pasir Salak itu, dengan pertambahan tren baharu dan beberapa perancangan dilaksanakan Rapid Rail Sdn Bhd, beliau yakin perkhidmatan itu akan mendapat pertambahan pelanggan antara lima hingga tujuh peratus setahun.
“Kita jangka pertambahan pelanggan antara lima hingga tujuh peratus tahunan. Begitupun kita dah bersedia untuk peningkatan itu,” katanya lagi.
#Amerika Syarikat
#Kelana Jaya
#LRT
#Malaysia
#Media
#Parlimen
#prasarana
#Tajuddin Abdul Rahman
#Transit Aliran Ringan