Penambahan bas 'shuttle' dan kakitangan langkah tangani isu aerotrain KLIA - Anthony

Hafizi Rosli
Januari 7, 2023 11:18 MYT
Anthony Loke mengadakan lawatan kerja ke KLIA untuk memahami keadaan operasi di lapangan terutama isu perkhidmatan aerotrain. - Gambar Facebook/ Anthony Loke
KUALA LUMPUR: Penambahan bas 'shuttle' yang beroperasi sepanjang masa serta lebih banyak kakitangan ditempatkan bagi menghubungkan terminal utama dan satelit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, menjadi antara langkah mitigasi untuk menangani isu ketidakstabilan perkhidmatan aerotrain.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, penambahan bas shuttle dijangka mengurangkan kebergantungan kepada aerotrain dengan masa perjalanan pula dalam tempoh empat minit.
"Langkah mitigasi ini diambil sementara projek menaik taraf sistem siap dan membeli set aerotrain baharu dijangka mula beroperasi dalam tempoh 24 bulan.
"Pada ketika ini terdapat ganggungan perkhidmatan yang mana hanya satu set aerotrain yang beroperasi kerana set yang kedua menghadapi masalah teknikal," jelas Loke menerusi laman Facebooknya pada Sabtu.
Tambah beliau, beberapa langkah lain turut diambil termasuk kebenaran parkir di terminal utama bagi pesawat wide-body seperti A350 yang melibatkan penerbangan antarabangsa.
Perkhidmatan aerotrain juga, jelas Loke, dikhususkan kepada penumpang dan anak kapal sahaja manakala petugas lapangan terbang serta pekerja lain diarahkan menggunakan bas shuttle.
#KLIA #aerotrain #Anthony Loke #penerbangan #PM10
;