Penamatan subsidi ayam: Tiada kenaikan harga di tiga negeri pada hari pertama
Nickyson Nyambar
November 1, 2023 22:19 MYT
November 1, 2023 22:19 MYT
KUALA LUMPUR : Tiada peningkatan harga direkodkan pada hari pertama penamatan subsidi dan kawalan harga ayam negara di tiga negeri iaitu di Selangor, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Negeri Sembilan.
Ia berdasarkan tinjauan yang dijalankan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) selepas kerajaan mengambil keputusan untuk melepaskan harga kawalan ayam.
Menerusi tinjauan itu, KPKM juga mendapati bekalan bahan mentah itu juga stabil dan mencukupi untuk keperluan pengguna
"(Selangor) Tinjauan di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan mendapati harga ayam standard dijual pada harga RM9.40 sekilogram dengan cas perkhidmatan pemotongan sebanyak 50 sen.
"Manakala, di Pasar Raya Econsave Kota Warisan Sepang, harga ayam standard dijual pada harga RM8.39 sekilogram. Di Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR) Sungai Merab, harga ayam super dijual pada harga RM9.20 sekilogram.
"(Negeri Sembilan) Pemantauan yang dibuat di sekitar Nilai pula mendapati harga ayam standard adalah pada kadar berpatutan. Di Pasar Awam Sementara Nilai, harga ayam standard adalah pada kadar RM9.40.
"Manakala di Pasar Raya Giant Superstore Nilai, harga ayam standard adalah RM7.89 sekilogram dan harga ayam standard di Lotus Nilai Putra pula dijual pada harga RM7.39 sekilogram," kata KPKM dalam perkongsian di sosial media pada Rabu.
Jelas KPKM lagi, di Putrajaya, harga ayam super di Pasar Raya Mydin dijual pada harga RM7.99 sekilogram dan di Peladang Outlet PPK Putrajaya pula berharga RM9 sekilogram.
Ujarnya secara keseluruhan harga ayam yang dijual adalah diantara RM7.39 hingga RM9.40 sekilogram.
Dalam memastikan kestabilan bekalan ayam di pasaran serta sebarang aktiviti pencatutan, pihaknya memberi jaminan akan terus bekerjasama erat dengan Kemeterian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Pemantauan yang dijalankan pada Rabu diketuai oleh Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Lokman Hakim Ali turut disertai Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri disertai pegawai-pegawai KPKM serta FAMA.
Terdahulu, kerajaan mengambil keputusan untuk menamatkan subsidi dan kawalan harga bagi ayam berkuatkuasa pada 1 November.
Penamatan subsidi ayam adalah selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa yang dilaksanakan kerajaan, seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024.
Sebelum ini Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan kerajaan telah mengeluarkan subsidi keseluruhan sebanyak RM3.8 bilion bagi menampung kos ayam dan telur sehingga Februari tahun ini.