Penamatan perkhidmatan perpustakaan digital, penerbit e-book kesal
Astro Awani
Oktober 27, 2022 04:20 MYT
Oktober 27, 2022 04:20 MYT
KUALA LUMPUR: Lebih 330,0000 pembaca di Malaysia yang akan bakal kehilangan akses kepada perkhidmatan pinjaman buku digital menjelang awal tahun 2024, susulan pemberhentian perolehan e-buku tempatan.
Notis pemberhentian itu dikeluarkan Perpustakaan Negara Malaysia kepada para vendor dan penerbit, baru-baru ini.
Vendor dan ratusan penerbit dan penulis tempatan yang membekal kepada perpustakaan pinjaman elektronik yang lebih dikenali sebagai ELIB ini mula menyuarakan kebimbangan mereka kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengenai keputusan Perpustakaan Negara yang telah menjejaskan pendapatan penerbit dan penulis digital di Malaysia.
Penggunaan servis ELIB mencecah angka tertinggi semasa tempoh ‘lockdown’ dan walaupun negara sudah memasuki fasa endemik, permintaan terhadap ELIB masih kekal tinggi dan relevan.
Malah, penggunaan ELIB telah meningkat lebih dua kali ganda berbanding sebelum pandemik.
“Saya berasa amat bingung dan tidak faham mengapa Perpustakaan Negara tidak berusaha untuk memperjuangkan peruntukan bajet bagi salah satu perkhidmatan mereka yang berjaya?
"Saya boleh faham jika mereka mengabaikan perkhidmatan yang tidak berprestasi, tetapi bukan menamatkan satu fasiliti yang sangat efisien untuk orang awam mendapatkan bahan bacaan.
“Ia bukan perkara yang mudah untuk menyemai budaya pembacaan teks panjang, apatah lagi pembacaan teks panjang secara digital.
"Kini, trend tersebut sudah mula kukuh selepas usaha selama sedekad, perpustakaan memutuskan untuk menamatkannya," kata Faiz Al Shahab, Pengarah Urusan Xentral Methods Sdn Bhd, yang juga pengelola ELIB Perpustakaan Negara.
Pihak industri ini berhasrat untuk bersemuka secara terus dengan pihak Kementerian yang terlibat, iaitu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, agar kemelut kesusasteraan ini dapat dibincangkan dan penyelesaian untuk mengatasi krisis ini dapat ditentukan, sebelum budaya membaca di Malaysia terus tenggelam.
Fasiliti pinjaman e-buku mula diperkenalkan oleh pihak Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada awal tahun 2012 sebagai salah satu usaha negara untuk menggalakkan budaya pembacaan digital apabila mendapati bahawa terdapat penurunan dalam jumlah pengunjung ke perpustakaan.
Sejak itu, kemudahan pinjaman e-buku yang menyajikan banyak judul terbitan tempatan termasuk koleksi novel-novel drama adaptasi terkenal, telah mula mencapai kadar pinjaman yang tinggi berbanding pinjaman buku bercetak dari perpustakaan fizikal.