Penamatan perkhidmatan jururawat kerana masalah disiplin, bukan sebab tutup aurat

T K Letchumy Tamboo
Disember 5, 2015 15:42 MYT
Penamatan perkhidmatan seorang jururawat dari sebuah hospital mendapat perhatian meluas pihak media Jumaat. - Gambar fail
Penamatan perkhidmatan seorang jururawat dari sebuah hospital swasta yang dilaporkan dengan meluas di media semalam adalah disebabkan oleh masalah disiplin dan bukannya sebab tatacara pemakaian.
Perkara ini dimaklumkan oleh Pengurus Kewangan dan Pentadbiran Hospital Damai Service (Melawati), Regina Sundram dengan memberi penjelasan kepada insiden yang berlaku kepada Naziah Sauni Samat, 24.
”Sejak tahun 1989, peraturan hospital dan etika pemakaian pakaian seragam untuk semua kakitangan adalah memakai kemeja berlengan pendek. Kami tidak pernah benarkan Naziah memakai pakaian seragam berlengan panjang seperti yang didakwanya.
“Namun, Naziah tetap berdegil dan terus memakai seragam berlengan panjang. Kami menghantar sepucuk surat kepadanya pada 23 November menegaskan dia ditangguh kerja selama 48 jam untuk memotong lengan pakaian seragam itu dan kembali bertugas dengan kod pemakaian yang sesuai.
“Surat itu turut terkandung pendirian pihak hospital menyatakan, sekiranya dia (Naziah) tidak datang bertugas dengan pemakaian yang betul selepas 48 jam, kerjanya secara automatik akan tamat.
“Naziah hanya kembali bertugas pada 30 November tanpa memberi apa-apa alasan atas ketidakhadirannya. Walau bagaimanapun, kami membenarkan dia terus bertugas kerana dia telah memotong lengan pakaian seragamnya dan memakai stokin lengan. Kami menyuruhnya membuka stoking lengan itu tetapi dia tidak mahu berbuat demikian.
“Kemudian, dia tidak hadir bertugas pada 1, 2 dan 3 Disember. Pada malam 3 Disember, dia bertanya sampai bila kerjanya ditangguh. Seperti yang tertulis di dalam surat itu, kami memberitahu Naziah perkhidmatannya telah tamat,”katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini hari ini.
Menurut Regina, jururawat beragama Islam lain yang bertugas di hospital itu tidak mempunyai masalah mematuhi etika pemakaian hospital tersebut.
“Dia telah jadikan perkara ini sebagai isu agama. Ini bukan isu agama, ini masalah disiplin,” katanya.
Naziah mengambil keputusan untuk membawa aduannya ke Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) untuk mengadakan perbincangan dengan Regina.
Sehubungan perbincangan itu, wakil hospital membuat keputusan untuk membuat laporan polis.
Dalam laporan itu, wakil hospital menyatakan bahawa kakitangan Islam hospital itu harus berpakaian seragam seluar panjang, kemeja pendek dan anak tudung dan ini tidak dibantah oleh mana-mana kementarian dari kerajaan sehingga hari ini.
Laporan itu turut berkata, ini adalah ‘standard dress code’ untuk setiap kakitangan hospital itu.
Semalam, Naziah dalam satu sesi sidang media, berkata dia mengalami tekanan emosi apabila dia dianggap berdegil kerana tidak mematuhi arahan hospital.
Akibat tertekan, dia membuat keputusan untuk tidak melaporkan diri untuk bertugas selama beberapa hari.
Ketua aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan yang turut hadir di sidang media itu Jumaat menggesa Kementerian Kesihatan, Kementerian Sumber Manusia dan JAKIM mengambil tindakan sewajarnya.
#Hospital Damai Service #Naziah Sauni Samat #PPIM
;