Penamatan monopoli Bernas mampu turun, kawal harga beras - Salahuddin

Bernama
Jun 13, 2018 08:20 MYT
Salahuddin penamatan monopoli Bernas itu akan membentuk pasaran yang lebih terbuka kepada hasil padi dan beras di negara ini. - Gambar fail
Penamatan monopoli Syarikat Padi Beras Nasional (Bernas) sebagai pengeluar beras negara mampu menurunkan dan mengawal harga beras di negara ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub.
Beliau berkata ini kerana penamatan monopoli Bernas itu akan membentuk pasaran yang lebih terbuka kepada hasil padi dan beras di negara ini antara lain dengan mewujudkan persaingan yang sihat antara syarikat yang terlibat dalam industri padi dan beras negara.
"Dalam industri padi dan beras negara ini, kita ada pembekalan dan permintaan, jadi bila kita pecahkan monopoli Bernas, kita akan wujudkan persaingan yang lebih baik daripada syarikat-syarikat terlibat bagi penuhi pembekalan dan permintaan itu, seterusnya mampu turun serta kawal harga.
"Namun tamatnya monopoli Bernas ini tidak bermakna Bernas itu terus dihapuskan, tidak. Bernas masih kekal cuma kita mahu membuka pasaran (padi dan beras) itu kepada umum," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menerima sumbangan lebih RM1 juta daripada pelbagai pihak untuk Tabung Harapan Malaysia di Bakri di sini pada majlis yang turut dihadiri Anggota Parlimen Bakri Yeo Bee Yin.
#BERNAS #Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani #monopoli #Salahuddin Ayub #Syarikat Padi Beras Nasional