Penamatan Khairuddin sebagai KP J-KOM perkara biasa - Fahmi

Khalis Khadir
September 25, 2024 16:17 MYT
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil bagaimanapun enggan mengulas lanjut punca penamatan Khairuddin Othman sebagai KP J-KOM. Gambar fail
PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengesahkan khidmat Dr Mohd Khairuddin Othman sebagai Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) ditamatkan.

Ringkasan AI
  • Penamatan Khidmat: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, mengesahkan penamatan khidmat Dr. Mohd Khairuddin Othman sebagai Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) sebagai prosedur biasa.
  • Tiada Penjelasan Lanjut: Fahmi tidak mengulas lanjut mengenai sebab penamatan khidmat bekas ADUN Paya Jaras itu, hanya menyatakan ia mengikut proses yang teratur.
  • Pengesahan Penamatan: Dr Mohd Khairuddin mengesahkan penerimaan surat penamatan pada Isnin, dan Fahmi tidak menamakan pemangku jawatan sebelum pelantikan baharu dibuat.

Beliau berkata ia adalah prosedur biasa kerana urusan penamatan dibuat mengikut proses yang teratur.
Namun ketika ditanya punca khidmat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras itu ditamatkan, Fahmi enggan mengulas lanjut.
"Tidak (tidak boleh terangkan sebab penamatan), saya boleh sahkan beliau sudah ditamatkan perkhidmatan dan dalam isu jawatan kontrak sebenarnya mana-mana pelantikan dan penamatan ada prosesnya.
"Ia adalah perkara biasa dan ia berpandukan proses yang saya sebut tadi iaitu ia adalah teratur," katanya pada sidang media mingguan, di sini, pada Rabu.
Dalam masa sama Fahmi juga tidak menamakan pemangku jawatan berkenaan sebelum pelantikan baharu dibuat.
Penamatan perkhidmatan KP JKOM dibuat mengikut proses, teratur - Fahmi
Mohd Khairuddin ketika dihubungi Astro AWANI semalam mengesahkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pengarah J-KOM ditamatkan dengan surat penamatan yang diterima beliau pada Isnin.
Beliau yang merupakan Setiausaha PKR Selangor dilantik ke jawatan itu bermula 1 Mac lalu bagi mengisi kekosongan jawatan yang sebelum itu disandang Prof Datuk Mohammad Agus Yusof.
#Fahmi Fadzil #JKOM #Khairuddin Othman #prosedur biasa
;