Penamaan calon ditutup, BN peroleh kemenangan pertama
Madiha Abdullah
April 28, 2018 13:23 MYT
April 28, 2018 13:23 MYT
Proses penamaan calon untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ditutup secara rasminya jam 10 pagi tadi.
Presiden Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak akan mempertahankan kerusinya di Parlimen Pekan yang diduduki sejak 1976 manakala timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula bertanding di kerusi Parlimen Bagan Datuk yang disandang sejak 1995.
Tun Dr Mahathir Mohamad pula menghantar borang pencalonan dalam cubaannya menawan Parlimen Langkawi.
Warna-warni hari penamaan calon menyaksikan BN memperoleh kemenangan pertama apabila Datuk Seri Mohamad Hasan berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.27 Rantau tanpa bertanding.
Ia selepas satu-satunya pencabarnya, Dr. S.Streram dari PKR yang mewakili Pakatan Harapan gagal menghantar pencalonan kerana tidak mempunyai pas khas pencalonan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Juga menerima nasib yang sama ialah Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang atau Tian Chua apabila permohonan untuk bertanding di Parlimen Batu P115 ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia(SPR) berikutan satu kes mahkamah pada 2013.
Paling mencuri perhatian tentu sekali selebriti Azwan Ali yang diterima bertanding di DUN Bukit Antarabangsa untuk berdepan abangnya sendiri, Mohamed Azmin.
PRU14 akan dijalankan 9 Mei ini.
#Ahmad Zahid Hamidi
#Azwan Ali
#Barisan Nasional
#Datuk Seri Najib Razak
#Dewan Undangan Negeri
#Mohamed Azmin
#pembangkang
#penamaan calon
#Pilihanraya Umum ke 14
#Suruhanjaya Pilihan Raya
#Tun Dr Mahathir Mohamad