Penalti lebih berat kepada majikan ambil pekerja secara haram

Israr Khalid
Januari 12, 2017 21:54 MYT
Kerajaan sedang dalam rancangan meminda Akta Pekerjaan (Sekatan) 1968 terutamanya pada bahagian penalti, kata Datuk Paul Low. - Gambar fail
Kerajaan sedang dalam rancangan meminda Akta Pekerjaan (Sekatan) 1968 terutamanya pada bahagian penalti yang akan dikenakan kepada pihak yang melanggar undang-undang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low.
Maklumnya, pindaan itu akan memperuntukkan hukuman yang lebih berat kepada pesalah, khususnya majikan yang didapati mengambil pekerja asing secara haram.
“Kita akan tingkatkan jumlah penalti sekitar RM100,000 bagi setiap pekerja asing. Pekerja bukan kepada pekerja, tetapi kepada majikan. Pekerja yang ditangkap bekerja secara haram sudah pasti akan dihantar semula ke negara asal mereka.
“Proses draf juga sudah siap, harapnya ia akan dapat dilaksanakan pada Mac kalau boleh,” katanya selepas menghadiri sesi dialog bersama majikan-majikan di kompleks Jabatan Imigresen di sini hari ini.
Turut sama hadir dalam sesi dialog itu adalah Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali.
Ketika ini, penalti yang diperuntukkan dalam akta tersebut adalah denda hingga RM5,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali jika didapati gagal mematuhi syarat pendaftaran dan permit (Seksyen 5 dan 13).
Pada masa sama mengenai penangguhan pembayaran levi oleh majikan kepada pekerja asing, beliau memberitahu bahawa langkah tersebut diambil berikutan permintaan majikan yang mahukan tempoh untuk mereka menyesuaikan diri dengan dasar baru iaitu Komitmen Mandatori Majikan (EMC) yang dilaksana 1 Januari lepas.
31 Disember lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan majikan akan bertanggungjawab membayar levi pekerja asing mereka sepertimana peraturan dikuatkuasa di bawah EMC.
Kata beliau, kerajaan sedang berusaha mewujudkan ekosistem yang memudahkan majikan untuk mengambil pekerja asing bagi mengurangkan kos yang berpunca daripada kewujudan orang ketiga.
Pada masa sama, usaha bagi mencari jalan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing juga sedang dibuat supaya tenaga kerja tempatan tidak diketepikan, seiring matlamat dalam Rancangan Malaysia ke-11 iaitu mengehad tenaga kerja asing kepada 15 peratus sahaja.
#Akta Pekerjaan #Datuk Paul Low Seng Kuan #Datuk Seri Mustafar Ali #EMC
;