Penaja tanggung sebahagian kos kuarantin pelajar kembali ke Malaysia - Ismail Sabri

Umavathi Ramayah
Mei 28, 2020 07:38 MYT
Ismail Sabri memberitahu, sebahagian pelajar yang telah tamat pengajian di luar negara adalah tajaan kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Separuh daripada kos kuarantin di hotel bagi pelajar tajaan di luar negara yang telah tamat pengajian perlu ditanggung oleh pihak penaja setelah mereka pulang ke tanah air bermula 1 Jun ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini bermakna 50 peratus daripada kos kuarantin itu akan ditanggung oleh kerajaan manakala selebihnya akan dibayar penaja.
Katanya, sebahagian pelajar yang telah tamat pengajian adalah tajaan kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
"Ramai yang mohon supaya mereka ini dikecualikan daripada kos kuarantin yang sebelum ini memerlukan mereka membayar 50 peratus.
"Ekoran itu, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri bersetuju untuk menanggung separuh dan ibu bapa kini tidak perlu bimbang," katanya dalam sidang media di Putrajaya di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau berkata sehingga kini, kira-kira 18,000 rakyat Malaysia di luar negara sudah membuat permohonan secara dalam talian dan menandatangani surat aku janji pembayaran 50 peratus kos kuarantin wajib selama 14 hari setelah kembali ke negara ini.
Beliau berkata sebahagian besar daripada mereka adalah pelajar yang telah tamat pengajian dan tidak ada keperluan untuk terus berada di luar negara.
#COVID-19 #ismail sabri yaakob #Jabatan Perkhidmatan Awam #kos kuarantin #Malaysia #Menteri Kanan Kluster Keselamatan #pelajar