Penahanan senator Australia bukan bermotifkan politik
T K Letchumy Tamboo
Februari 16, 2013 20:59 MYT
Februari 16, 2013 20:59 MYT
Penahanan senator Australia Nick Xenophon tidak bermotifkan politik, kata menteri dalam negeri Datuk Seri Hishammudin Hussein
Hishammudin berkata tindakan menghalang seseorang dari memasuki sesebuah negara adalah amat biasa di banyak negara termasuk Malaysia.
“Di sesetengah negara, mereka boleh menghantar balik rakyat Malaysia tanpa memberi sebarang sebab. Jikalau rakyat Malaysia menjelajah ke Sdyney atau Melbourne, mungkin setiap minggu mereka tidak dibenarkan masuk.
“Malah, saya pun sebagai seorang menteri, kalau dia orang tak benarkan saya masuk negara mereka, saya terpaksa balik Malaysia, Jadi, apa yang istimewa sangat dengan dia (Xenophon)?,” tanya beliau semasa sidang media di sini, hari ini.
Hishamuddin berkata Malaysia sentiasa berhubung dengan Australia melalui Wisma Putra dan apa-apa tindakan yang akan diambil ke atas Xenophon adalah mengikut undang-undang yang sedia ada.
“Tetapi saya berharap apa jua tindakan yang diambil dapat diperjelaskan oleh ketua pengarah imigresen Datuk Alias Ahmad. Saya sudah maklumkan kepada beliau,” kata Hishammudin sambil menambah bahawa penahanan Xenophon hanyalah satu isu imigresen.
Xenophon ditahan di Lapangan Terbangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semasa beliau tiba dari Melbourne.
Menteri Luar Australia Bob Carr berkata pegawai Australia telah menghubungi Xenophon serta kementerian luar dan dalam negeri Malaysia untuk pembebasan beliau secepat mungkin.